Shah Alam: Suspek yang terbabit dalam kejadian tetak adik kandungnya hingga maut di sebuah rumah di Kampung Jawa di sini, Selasa lalu, ditahan polis awal pagi semalam.

Suspek lelaki dikenali sebagai M Nageswaran, 39, yang membunuh abang kandungnya akibat perebutan harta pusaka ditahan bersembunyi di Taiping, Perak.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung ‘kelibat’ suspek berada di Taiping.

“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor merancang operasi menangkap suspek di sebuah premis di Kamunting, Taiping, jam 2 pagi tadi (semalam).

“Ketika ditahan, suspek didapati berada bersama isterinya berusia 33 tahun,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, polis yakin menyelesaikan kes itu dan suspek bersama isterinya ditahan reman tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 6 petang Selasa lalu, suspek dan mangsa dikatakan bertikam lidah berikutan suspek tidak berpuas hati pembahagian harta pusaka yang diberikan bapa mereka yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 7:42 AM