Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap masyarakat Siam terus memberi sokongan terhadap usaha kerajaan memupuk dan meningkatkan persefahaman yang sedia terjalin antara masyarakat berbilang kaum serta agama di Malaysia.

Beliau berkata, persefahaman menjadi asas serta rahsia kepada kejayaan negara memupuk perpaduan serta mengekalkan keamanan.

“Hasilnya, banyak nikmat dan kemajuan yang dapat kita sama-sama kecapi. Pada masa sama, saya berharap masyarakat Siam terus menyokong dan mendokong usaha kerajaan bagi memupuk dan meningkatkan persefahaman yang sedia terjalin antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya sempena sambutan Hari Songkran 2015 menerusi akaun Twitternya, semalam.

Beliau turut mengajak semua rakyat mempertahankan keunikan negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama demi kelangsungan kemerdekaan Malaysia.

Katanya, beliau turut berharap supaya kedatangan Hari Songkran akan membuka lembaran baru kepada masyarakat Siam.

“Inilah keistimewaan menjadi rakyat Malaysia. Kita sudah membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh hidup bersatu padu, aman dan bebas walaupun kita berbeza bangsa dan agama.

“Marilah kita pertahankan keunikan ini demi kelangsungan kemerdekaan dan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Beliau dan keluarga turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Songkran yang kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan Siam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:19 AM