PENOLONG Pegawai Meteorologi Azah Shahmim Kadir Bashah menunjukkan aplikasi MyCuaca yang dimuat turun pada telefon pintar, semalam.
PENOLONG Pegawai Meteorologi Azah Shahmim Kadir Bashah menunjukkan aplikasi MyCuaca yang dimuat turun pada telefon pintar, semalam.

Putrajaya: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalay sia) melancarkan aplikasi mudah alih myCuaca bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai ramalan cuaca harian, amaran gempa bumi dan tsunami yang berlaku di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Ewon Ebin berkata, sebelum ini penghebahan ramalan cuaca dibuat menerusi radio dan televisyen.

Bagaimanapun beliau berkata, hebahan biasanya dibuat pada penghujung rancangan menyebabkan orang ramai tidak berminat menontonnya, sekali gus menyebabkan maklumat berkenaan tidak dapat disampaikan kepada umum.

“Penggunaan teknologi aplikasi mudah alih ini diharap dapat meningkatkan kemudahan, kecekapan dan ketelusan sistem penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada rakyat menerusi telefon pintar.

“Maklumat dan amaran akan disalurkan lebih cekap dan tepat kepada pengguna, sekali gus menanam sikap mengambil tahu keadaan cuaca sebelum melakukan sebarang aktiviti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi mudah alih myCuaca, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri MOSTI Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Aplikasi berkenaan bermula Disember tahun lalu dan boleh didapati secara percuma menerusi Play Store dan Apple Store.

Bagaimanapun, ia dilancarkan semalam bersempena Hari Meteorologi Sedunia yang disambut pada 23 Mac setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 10:10 AM