Petaling Jaya: Mangsa rogol yang mengalami masalah trauma melampau sehingga takut berdepan kaum lelaki disarankan supaya menjalani rawatan kaunseling disediakan pihak kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di hampir setiap negeri.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, unit kaunseling bawah JKM itu menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa keganasan seperti kes rogol dalam konteks yang lebih komprehensif.

“Memang menjadi kebiasaan bagi mangsa rogol terutama golongan remaja menghadapi masalah trauma dan kemurungan melampau. Namun tidak adil sekiranya masalah itu dibiarkan berlarutan sehingga memberi impak terhadap masa depan mereka.

“Oleh itu menerusi pelbagai unit bantuan disediakan KPWKM, orang ramai terutama ibu bapa boleh menghantar mangsa terus ke unit kaunseling disediakan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai gejala trauma dihadapi sebahagian mangsa rogol.

Tambah membimbangkan, masalah trauma berkenaan berlarutan sehingga bertahun-tahun, sekali gus memberi impak negatif terhadap masa depan mangsa rogol itu sendiri.

Dalam pada itu, Mei Fun turut menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa rogol supaya tampil ke hadapan dan jangan sekali-kali takut untuk membuat laporan polis.

“Sikap takut-takut ini bukan saja memakan diri, malah menjadikan perogol lebih bermaharajalela di luar sana. Sekiranya anda dirogol, terus membuat laporan,” katanya ketika ditemui dalam majlis mesyuarat tahunan Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak (ECCE), di sini, semalam.

Dalam majlis itu, lebih 50 peserta dari pelbagai agensi hadir membincangkan mengenai hala tuju sistem ECCE dalam negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 8:28 AM