LOKASI mangsa dipercayai dibaham buaya.
LOKASI mangsa dipercayai dibaham buaya.

Miri: Hasrat seorang pekerja ladang memukat ikan berakhir dengan tragedi selepas dia dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Karap, Bakong, di sini, kelmarin.

Mangsa, Kamaruddin Rapi, 39, yang juga seorang warga Indonesia dilaporkan hilang pada jam 5 petang oleh rakan sekerjanya yang berasa curiga selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah mereka.

Sumber berkata, bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, beberapa rakan sekerjanya bergegas memeriksa lokasi mangsa sering memukat ikan dan hanya menemui pakaiannya selain raga yang berisi hasil tangkapannya.

“Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Marudi, di sini, namun gerakan mencari dan menyelamat pekerja ladang itu hanya dilancarkan pagi tadi (semalam) berikutan cuaca gelap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, belum ada sebarang petunjuk ditemui, semalam dan operasi pencarian diperluaskan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Sudah lebih tiga kes serangan buaya dilaporkan berlaku di sepanjang sungai itu. Justeru, kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menangkap ikan di Sungai Karap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:40 AM