WARIS mangsa penerbangan  MH17 dibenarkan melihat serpihan   pesawat  di Pangkalan Tentera Udara Belanda.
WARIS mangsa penerbangan MH17 dibenarkan melihat serpihan pesawat di Pangkalan Tentera Udara Belanda.

Amsterdam: Buat kali pertama waris mangsa nahas pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH17 dibenarkan melihat serpihan bangkai pesawat itu yang kini ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Belanda di Gilze-Rijen, di selatan negara itu.

Sebelum ini semua serpihan berkenaan dibawa dari Ukraine menggunakan lapan trak dan tiba di pangkalan tentera itu pada 9 Disember lalu bagi tujuan siasatan.

Bangkai pesawat berkenaan disusun dan sebahagiannya dicantumkan semula oleh pasukan penyiasat diketuai Belanda bagi proses siasatan tragedi yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pesawat.

Sebaik kebenaran melihat serpihan itu diberi pihak berkuasa Belanda, 500 ahli keluarga dijangka hadir setiap minggu bagi melihat sendiri serpihan itu.

Silene Fredriksz-Hoogzand, bapa kepada Bryce dan teman wanitanya, Daisy Oehlers yang maut dalam nahas itu berkata, dia akan pergi melihat serpihan pesawat itu Sabtu ini.

Sementara itu, Hans, bapa kepada seorang daripada mangsa, Elsemiek merancang datang melihat sendiri bangkai berkenaan kerana mahu mengetahui segala-galanya mengenai nahas itu.

Setiap bahagian dari pesawat itu kini siap dilabel dan bahagian pesawat yang dianggap paling kukuh dalam proses siasatan dibina semula tidak lama lagi.

Serpihan dikumpul itu juga kelihatan remuk dan ada bahagian tertentu yang hangus.

Bahagian kokpit tidak ditunjukkan kepada wartawan atas permintaan pihak pendakwa dan ia bukti paling penting diharapkan pasukan penyiasat dapat menjelaskan apa sebenarnya berlaku.

Sementara itu, Lembaga Keselamatan Belanda yang mengetuai siasatan itu memaklumkan laporan akhir siasatan pesawat itu mungkin dikeluarkan Oktober ini. - BBC

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:06 AM