TENGKU Abdullah (tengah) bersama sebahagian anggota askar wataniah pada majlis perbarisan ulang tahun Rejimen 505 Askar Wataniah ke-34 di Pekan, semalam.
TENGKU Abdullah (tengah) bersama sebahagian anggota askar wataniah pada majlis perbarisan ulang tahun Rejimen 505 Askar Wataniah ke-34 di Pekan, semalam.
Oleh Asrol Awang

Pekan: Satu prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap bagi menghadapi banjir perlu diwujudkan pada masa depan dalam usaha menghadapi bencana itu dengan lebih berkesan.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk Pahang adalah di luar jangkaan menyebabkan banyak kemusnahan serta meragut nyawa.

Katanya, SOP perlu dipertingkatkan walaupun sudah ada persediaan operasi menyelamat dilakukan.

“Diharap SOP yang lengkap atau khas bagi menghadapi bencana banjir dapat diwujudkan pada masa akan datang.

“SOP ini penting supaya kami dapat melaksanakan operasi menghadapi bencana banjir dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap dalam majlis perbarisan ulang tahun Rejimen 505 Askar Wataniah ke-34 di Rejimen 505 Askar Wataniah, Kem Force 136, Sungai Miang, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Zaini Mohamad.

Tengku Abdullah yang juga Komander Rejimen 505 Askar Wataniah turut menyatakan penghargaan terhadap usaha keras pelbagai pihak termasuk sukarelawan terdiri daripada askar wataniah membantu mangsa banjir.

Katanya, ia secara tidak langsung meningkatkan imej tentera di mata masyarakat menerusi penyaluran bantuan lebih berkesan menerusi darat, laut dan udara.

“Saya bangga kerana Rejimen 505 Askar Wataniah diberikan kepercayaan Markas 4 Briged Mekanize dan Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) untuk melaksanakan operasi bagi membantu angkatan tetap,” katanya.

Beliau berkata, seramai 20 pegawai dan 230 anggota lain-lain pangkat Rejimen 505 Askar Wataniah terbabit dalam Op Murni dengan tugasan diberikan seperti penghantaran makanan, menyediakan khemah, kerja pembersihan dan membantu kawalan di kem tentera bersama anggota tetap.

“Kesan operasi banjir itu secara tidak langsung menarik minat orang awam menyertai askar wataniah dan mereka yang sebelum ini tidak aktif kembali menyertai aktiviti pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:38 AM