Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan bergambar bersama anggota Rejimen Askar Wataniah (RAW) di UniMAP. FOTO Ihsan Istana Arau
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan bergambar bersama anggota Rejimen Askar Wataniah (RAW) di UniMAP. FOTO Ihsan Istana Arau
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


REJIMEN Askar Wataniah diminta dapat menjadi pihak yang mampu menyalurkan maklumat perisikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya di kawasan sempadan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah kewujudan Askar Wataniah dilihat sebagai salah satu organisasi ATM yang mampu memperkukuhkan pertahanan negara.

“Beta amat berharap Askar Wataniah dapat berfungsi dalam menyediakan maklumat perisikan tepat dan pantas untuk diguna pakai ATM dalam melaksanakan operasi di Kawasan Tanggungjawab (KTJ).

“Selain itu peranan Askar Wataniah sebagai benteng pertahanan tempatan dapat digunakan untuk menangani sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan di kawasan persendirian atau di kawasan tertentu,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penutupan Kursus Asas Semboyan Sukarela Rejimen Askar Wataniah Siri 2/2018 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam, Pauh Putra di Kangar.

Yang turut hadir Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Bukit Keteri, Left Kol Huzaini Hussin.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Bukit Keteri berharap, melalui penyediaan maklumat perisikan, negara dapat bebas dari ancaman anasir jahat yang mampu menggugat kedaulatan tanah air.

“Selain itu, peranan Askar Wataniah di sempadan negara diharap mampu melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan berkesan dan efektif,” titahnya.

Pada majlis itu baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 120 asnaf terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:24 PM