Oleh Nur Saliawati Salberi


Petaling Jaya: “Jangan ambil mudah mengenai demam denggi, hanya mereka yang pernah menghidapnya tahu betapa peritnya penderitaan yang ditanggung,” itu luahan bekas pesakit demam denggi Mohd Izwan Mat Nor, 34.

Menurutnya, selepas mengalami demam berpanjangan selama lima hari, dia disahkan menghidap demam denggi dan dirawat selama seminggu di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, fobia wabak itu menyebabkan dia dan ahli keluarganya mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kawasan rumah mereka bebas dari takungan air selain selalu melakukan gotong-royong bersama penduduk lain.

“Bayangkan, ketika itu orang lain bergembira menyambut hari raya, saya terlantar di hospital dengan badan yang lemah dan hanya mampu berdoa agar cepat sembuh.

“Selepas itu, aspek kebersihan kawasan rumah diutamakan selain setiap kali ahli keluarga yang demam, saya akan segera membawa mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Mencari dan Memusnahkan Aedes (SEDAR), di Apartment Saujana Damansara Damai di sini, semalam.

Seorang lagi bekas pesakit demam denggi Zaridawati Yunus, 47, berkata, wabak itu adalah penyakit serius kerana sesiapa sahaja boleh dijangkiti dan proses untuk sembuh juga mengambil masa.

“Selama lapan hari saya dan anak sulung dimasukkan ke hospital kerana demam denggi pada 2013 dan ia sangat sukar kerana perlu memastikan air di dalam badan mencukupi dan suhu badan tidak terlalu panas bagi mengelakkan keadaan yang lebih teruk.

“Malangnya, walaupun sentiasa berjaga-jaga, anak saya sekali lagi dijangkiti demam denggi tahun lalu, kini apabila ternampak nyamuk perasaan takut akan ada kerana terfikir nyamuk aedes,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Dr Abdul Ghalib Sulaiman berkata, sedar bahayanya demam denggi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Saujana Damansara Damai bersama-sama MBPJ, melancarkan Pasukan SEDAR.

“Pasukan ini akan dibimbing MBPJ dan Jabatan Kesihatan akan melakukan rondaan setiap minggu di kawasan tempat tinggal mereka untuk mencari tempat pembiakan aedes dan memusnahkannya dengan menggunakan semburan kimia seperti Aqua Resigen dan Bacillus Thuringiensis Iisraelensis (BTI).

“Mereka juga tidak hanya tertumpu kepada tempat takungan air, malah semburan bahan kimia itu akan dilakukan juga di semua kawasan bagi mengelakkan tempat itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:20 AM