MANGSA  diusung anggota paramedik untuk dibawa ke hospital, semalam.
MANGSA diusung anggota paramedik untuk dibawa ke hospital, semalam.

Kuala Lumpur: Dendam dan cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki cedera ditikam bekas kekasih teman wanitanya di Jalan Haji Hussein di sini.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa berusia 39 tahun dikatakan sedang menunggang motosikal bersama teman wanitanya.

Mangsa bagaimanapun dirempuh suspek yang memandu sebuah kereta menyebabkan pasangan terbabit terjatuh dari motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, suspek berusia 47 tahun dipercayai sengaja melanggar motosikal itu selepas melihat bekas teman wanitanya membonceng bersama mangsa.

“Suspek kemudiannya meluru keluar dari kereta sebelum menikam dada kiri mangsa dipercayai menggunakan pisau atau gunting.

“Suspek kemudian melarikan diri selepas mendapati mangsa rebah berlumuran darah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah kemudian diberi bantuan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, siasatan mendapati suspek pernah tinggal bersama bekas teman wanita mangsa selama lima tahun di Gombak, Selangor.

“Suspek pernah terserempak mangsa dan teman wanitanya itu di bangunan Baitulmal, Jalan Haji Hussein di sini, sebelum berlaku pertengkaran.

“Bagaimanapun pergaduhan itu berjaya dileraikan kakitangan Baitulmal yang turut menghubungi polis,” katanya.

Zainuddin tidak menolak kemungkinan suspek merancang serangan hendap ke atas mangsa.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan usaha menjejaki penjenayah itu sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:26 AM