Kuala Lumpur: “Eh, mana ada berubah? Apa pula saya buat muka? Saya tak ada buat apa-apa pun,” jawab pelakon dan pengacara Noor Faezah Md Elai yang terkejut dengan dakwaan kononnya dia melakukan rawatan kecantikan tertentu sehingga mengakibatkan perubahan drastik pada wajahnya berbanding sebelum ini.

Faezah, 32, berkata, dakwaan terbaru itu adalah khabar angin yang tidak berasas kerana dia hanya menggunakan produk kecantikan yang direka khusus untuk masalah kulit wajahnya yang sensitif sejak dulu.

“Bila masa pula saya buat suntikan atau rawatan wajah? Rasanya bentuk muka saya sama saja dari dulu cuma mungkin lebih cerah, sekata dan halus tapi lain-lain tak berubah apa pun.

“Sebenarnya jenis kulit muka saya sensitif selama ini. Jadi sejak enam bulan lalu saya mulai guna satu produk kecantikan yang dirumus khas oleh seorang kawan yang juga pakar kecantikan.

“Alhamdulillah, memang makin nampak perubahan itu. Tapi kalau nak kata sampai saya buat muka itu memang mengarutlah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khabar angin yang disampaikan beberapa sumber baru-baru ini mendakwa kononnya Faezah melakukan suntikan dan rawatan tertentu pada wajahnya sehingga menampakkan perubahan yang menjadikannya lebih jelita dan menyerlah.

Ura-ura itu diperkukuhkan lagi dengan gambar-gambar Faezah di media sosial yang kelihatan berbeza dan menonjol walaupun tanpa solekan berbanding sebelum ini.

Faezah yang juga isteri kepada pengarah dan penerbit drama Heykal Hanifah berkata, dia tidak berminat dengan rawatan dan suntikan kecantikan kerana ia adalah proses yang menyakitkan.

“Saya takkan buat benda-benda macam itu sebab saya ini jenis takutkan jarum dan suami pun tak benarkan. Mungkin orang nampak muka saya berbeza sebab muka makin runcing kebelakangan ini. Bila muka makin runcing jadi ada sajalah yang nampak saya lain daripada dulu.

“Kebetulan pula kulit lebih licin dan halus sejak guna produk itu, lagilah nampak lain. Cuma kalau tengok dekat-dekat ada juga celanya lagi. Berat badan pula makin susut sampai 45 kilogram sekarang. Tapi saya tak ada masalah kesihatan apa-apa cuma mungkin penat dan kurang rehat.

“Saya sudah terangkan tapi kalau ada juga yang nak anggap saya buat muka ke apa ke, terpulangkah mereka nak cakap apa. Yang penting, saya tak buat macam itu,” katanya yang baru menamatkan penggambaran siri Permainan Cinta untuk HyppTV.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 10:21 AM