Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Leka mengambil pertaruhan pelanggan, seorang peniaga yang berlindung di sebalik warung makanannya di Kampung Datuk Keramat untuk menerima pertaruhan nombor ekor langsung tidak sedar premis itu diserbu polis, jam 5.40 petang kelmarin.

Difahamkan, lelaki itu melakukan kesalahan berganda kerana bukan saja kerana menjalankan perniagaan nombor ekor tidak berlesen, malah dia juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika serbuan dilakukan suspek berusia 54 tahun itu sedang menulis nombor ekor, malah masih memiliki kertas perjudian nombor ekor.

“Suspek yang berasal dari Indonesia menjalankan perniagaan haram itu di sebuah warung makanan yang tidak mempunyai papan tanda dan dipercayai sudah aktif sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya.

Menurutnya, polis merampas 14 helai kertas yang tercatat nombor perjudian bertarikh 10 Disember, dua pen, satu telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,045,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan direman untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 9:11 AM