Zaibelah bersama Muhammad Aizuddin melihat diploma yang diterima pada hari terakhir Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-81 di Dewan Agong Tuanku Canselor Shah Alam, semalam.
Zaibelah bersama Muhammad Aizuddin melihat diploma yang diterima pada hari terakhir Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-81 di Dewan Agong Tuanku Canselor Shah Alam, semalam.

Shah Alam: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-81, semalam, menyaksikan sepasang anak beranak berkongsi detik manis dalam hidup mereka apabila sama-sama menamatkan pengajian dan menerima diploma pada majlis berkenaan.

Malah, detik manis itu menjadi lebih bermakna apabila Muhammad Aizuddin Hang Md Kashap, 26, menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.77 manakala ibunya, Zaibelah Md Lelah, 53, menerima Diploma Kelas Pertama.

Muhammad Aizuddin berkata, dia gembira kerana dapat berkongsi detik bahagia itu dengan ibunya yang juga mengambil jurusan sama iaitu Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan dari Fakulti Undang-Undang UiTM.

“Secara kebetulan ketika mengikuti pengajian, kami ditempatkan dalam kuliah yang sama, malah turut berada dalam kumpulan sama dan ini menjadi kelebihan buat diri saya kerana kami dapat berbincang mengenai subjek walaupun di rumah.

“Kehadiran ibu pada setiap kali kuliah membuatkan saya lebih bermotivasi kerana saya cuba cabar diri sendiri untuk membuat yang lebih baik berbanding ibu,” katanya.

Muhammad Aizuddin yang bekerja di sebuah firma guaman di Ampang berkata, kuliah diadakan pada hari minggu tidak mengganggu rutin kerja hariannya dan dia dapat menguruskan masa dengan baik.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, minatnya yang mendalam terhadap bidang undang-undang menyebabkannya berusaha gigih, apatah lagi ibu serta ahli keluarga lain sentiasa memberikan galakan.

Sementara itu, Zaibelah berkata, dia gembira kerana bukan hanya berjaya menamatkan pengajian, malah turut berkongsinya dengan anak kesayangan.

“Kami selalu berselisih pendapat ketika membuat ulangkaji lebih-lebih lagi apabila membabitkan undang-undang dan kami mengeluarkan idea serta fakta masing-masing.

“Namun, perkara itu menyebabkan kami lebih bersedia ketika kuliah serta dapat menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:13 AM