Othman  (dua dari kiri)bersama pegawainya menunjukkan  dekoder yang dirampas.
Othman (dua dari kiri)bersama pegawainya menunjukkan dekoder yang dirampas.

Putrajaya: Hanya dengan RM850 untuk satu unit dekoder, pengguna boleh menonton pelbagai filem berbahasa Inggeris dan Mandarin selain boleh mendapatkan siaran televisyen percuma dari luar negara yang sudah direkodkan.

Malah, tanpa perlu membeli tiket di panggung wayang, dekoder haram itu turut memudahkan pengguna menonton filem terkini yang baru keluar di pasaran.

Penggunaan dekoder haram itu sangat mudah kerana sebaik memilikinya, pengguna hanya menyambungkan kabel dekoder pada televisyen definisi tinggi (HD) dengan syarat mempunyai talian Internet di rumah.

Tanpa perlu membayar bil secara bulanan seperti siaran televisyen berbayar, pengguna dekoder itu juga boleh menikmati siaran HD.

Bagaimanapun, selepas lebih setahun ia dipercayai dijual di pasaran, aktiviti penjualan dekoder haram itu dikesan sebelum diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur jam 1 petang, kelmarin.

Ketua Seksyen Harta Intelek KPDNKK Othman Nawang berkata, serbuan yang dilakukan itu berdasarkan aduan pemilik hak cipta karya dan pihaknya membuat risikan selama tiga minggu di dua premis di pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, premis pertama ialah kios jualan kemudahan Internet yang menjual dekoder haram berkenaan manakala, premis kedua ialah spa kecantikan yang menempatkan stok barangan dekoder berkenaan.

“Hasil serbuan itu, 50 dekoder haram disita dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM42,500. Ketika serbuan, pemilik premis tiada di lokasi dan seorang pekerja berada di kios manakala tiga lagi pekerja di tempat penyimpanan stok barangan.

“Keempat-empat pekerja lelaki dianggarkan berusia 30-an kemudian diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Othman berkata, penjualan dekoder haram itu kali pertama dikesan pihaknya malah, ia turut dijual menerusi media sosial.

Katanya, difahamkan harga sebenar bagi dekoder berkenaan hanya RM80 dan pihak yang berkenaan mengaut keuntungan tinggi dengan menjualnya sehingga RM850.

“Tindakan tidak terhenti setakat ini kerana kita menyiasat perkara ini bagi mencari dalang sebenar yang terbabit dalam kes ini.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987 dan jika didapati bersalah, boleh dikenakan tindakan denda minimum RM20,000 untuk satu unit barang rampasan manakala, maksimum denda ialah RM40,000 untuk seunit barang rampasan atau lima tahun penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:10 AM