Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang mewujudkan bil atau bayaran pengurusan sisa pepejal berasingan untuk setiap isi rumah pada masa akan datang untuk memastikan pengurusan sisa pepejal yang terbaik.

Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, bayaran pengurusan sisa pepejal ketika ini dikenakan melalui cukai pintu, namun terdapat keperluan untuk mengasingkan kedua-dua bayaran berkenaan pada masa akan datang.

“Sekarang ini, bil pengurusan sisa pepejal dilonggokkan dalam cukai pintu oleh pihak berkuasa temptan (PBT). Kami mengadakan rundingan dengan PBT bagi membincangkan sama ada bil itu boleh diasingkan,” katanya pada sidang media selepas melawat ruang pameran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di sini, semalam.

“Kita sedang buat kajian ketika ini, daripada cukai pintu itu berapa banyak yang digunakan PBT bagi pengurusan sisa pepejal. Jika kita gunakan bil berasingan, sudah tentu cukai pintu mesti diturunkan kerana kita hanya mengambil komponen pengurusan sisa pepejal itu daripada PBT,” katanya pada sidang media selepas melawat ruang pameran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Ab Rahim Md Noor.

Mengenai pelaksanaan Pengasingan Sisa di Punca secara mandatori yang akan dilaksanakan mulai September 2015, Abdul Rahman berkata, kesedaran rakyat negara ini adalah paling utama berbanding pelaksanaan tindakan undang-undang.

Ini kerana katanya, kerajaan boleh membuat pelbagai cara seperti mewujudkan undang-undang, penalti atau hukuman namun program itu hanya akan berjaya sekiranya rakyat masing-masing menerapkan budaya kitar semula dan pengasingan daripada punca ini.

“Dalam akta 672 PPSPPA, kita mempunyai peruntukan khusus termasuk mengenakan penalti atau hukuman bagi isi rumah yang gagal mengasingkan sisa daripada punca. Sebab itu kita mahu kesedaran diterapkan dulu tanpa memerlukan kita mewujudkan undang-undang, kita mahu ia datang dari hati nurani setiap rakyat malaysia, itu yang penting,” katanya.

Sehubungan itu katanya, PPSPPA akan mendekati masyarakat untuk memberi pemahaman mengenai sisa yang boleh diasingkan dan memahami dengan lebih jelas mengenai Pengurusan Sisa Di Punca sebelum ia dilaksanakan pada September 2015.

Katanya, kerajaan komited untuk mencapai sasaran kadar kitar semula 22 peratus menjelang tahun 2020, maka aktiviti 3R (Reuse, Reduce, Recycle) dan pengasingan sisa di punca sudah dikenal pasti sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:11 AM