AHLI keluarga suspek menunjukkan keadaan kereta bapanya yang dirosakkan.
AHLI keluarga suspek menunjukkan keadaan kereta bapanya yang dirosakkan.

Georgetown: Punca sebenar kejadian wanita dilanggar dan digilis kereta jirannya sehingga maut dalam kejadian di kawasan Flat Desa Intan, Bandar Baru Farlim, di sini, Jumaat lalu bukannya disebabkan masalah pembuangan sampah, tetapi perebutan tempat letak kereta.

Berikutan itu, semalam, keluarga suspek berusia 53 tahun itu tampil bersama peguam Datuk Baljit Singh Sidhu membuat laporan di Balai Polis Jelutong, pada kira-kira jam 11 pagi semalam.

Baljit berkata, ketika kejadian suspek digertak oleh pasangan jirannya yang berang kerana kereta suspek diletakkan di hadapan rumah mereka, selain mereka mendakwa kawasan parkir itu adalah milik mereka sedangkan ia tidak dikhaskan untuk sesiapa.

Beliau berkata, suspek tidak berniat untuk melanggar mangsa kerana ketika kejadian dia mendakwa dikepung dan diserang oleh beberapa orang menyebabkan dia ketakutan dan terus menekan pedal minyak.

Katanya, berikutan kejadian itu, keluarga suspek yang tinggal di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu kini berhadapan dengan tekanan, trauma dan gangguan emosi apabila masyarakat memandang serong terhadap mereka.

“Berikutan kejadian itu, keluarga suspek tampil hari ini menjelaskan perkara sebenar untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Jelutong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Jumaat lalu, mangsa Lee Seok Pheng, 47, maut selepas dilanggar kereta dipandu jirannya selepas mereka bertengkar dalam kejadian di Flat Desa Intan dan mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana mengalami kecederaan teruk di badan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:59 AM