JAMIL  (kanan) menyampaikan sijil nikah sementara kepada pengantin Mohd Amirul Ahmad Fauzi (kiri) dan pasangannya Nur Shuhada Nabila Abdul Razak (tengah) pada Majlis Walimatul 'Urus Perdana Asnaf Baitulmal MAIWP di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.
JAMIL (kanan) menyampaikan sijil nikah sementara kepada pengantin Mohd Amirul Ahmad Fauzi (kiri) dan pasangannya Nur Shuhada Nabila Abdul Razak (tengah) pada Majlis Walimatul 'Urus Perdana Asnaf Baitulmal MAIWP di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan menegaskan setiap pendakwah sama ada dalam mahupun luar negara perlu mengikut peraturan berdakwah di Malaysia dengan tidak menyangkal fatwa yang sudah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang diiktiraf di negara ini.

Bagi mengekang perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta pihak berkuasa agama negeri meneliti dan mengambil tindakan terhadap pendakwah tidak mempunyai tauliah mengajar termasuk mereka yang mengelirukan selain mewujudkan percanggahan pandangan mengenai hukum.

“Kita dah beritahu majlis agama ambil perhatian kepada orang-orang yang tak mempunyai tauliah mengajar dan memberikan keadaan percanggahan pandangan terhadap hukum.

“Tak kira pendakwah dalam dan luar negara yang mengecam pandangan fatwa diputuskan, perlu ikut peraturan berdakwah di Malaysia sebab Majlis Fatwa tak buat keputusan sewenang-wenangnya, semuanya dibuat berdasarkan konsensus perbincangan serta pembentangan kertas kerja,” katanya mengulas dakwaan tersebar di laman media sosial berkaitan surat penyekatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 13 November lalu terhadap pendakwah Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki daripada berdakwah di Malaysia sehingga ke suatu tempoh.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau menyangkal dakwaan itu sebaliknya menerangkan pemantauan dan kajian lanjut latar belakang tokoh berkenaan bertujuan memelihara ketenteraman masyarakat dan mengelak kekeliruan berhubung isu hukum.

“Bukan disekat, kita tak sekat. Tindakan bertujuan mengambil kira bahawa di Malaysia ada peraturan dalam berdakwah termasuk penceramah mempunyai tauliah dan sebagainya.

“Kita tak mahu mana-mana pihak sewenang-wenangnya mudah menyangkal pandangan fatwa yang sudah diputuskan apatah lagi pandangan itu akan menyebabkan masyarakat berbelah bahagi dan kita tak mahu timbul suasana tidak tenang dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:12 AM