DR Alias (tiga dari kanan) bersama lima penyelidik UIAM.
DR Alias (tiga dari kanan) bersama lima penyelidik UIAM.
Oleh Fazurawati Che Lah

Gombak: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi 10 anugerah dalam penyertaan sulung ke Pameran Inovasi British (BIS) 2014, di London baru-baru ini.

Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UIAM Profesor Datuk Dr Alias Abdullah berkata lima penyelidik dari fakulti Kejuruteraan dihantar ke pertandingan itu dan menampilkan dua produk yang diciptakan setiap daripada mereka.

“Seorang penyelidik UIAM menerima Anugerah Khas iaitu EU Inventor Special Award manakala dua lagi penyelidik mendapat Double Gold untuk ciptaan masing-masing.

“Pasukan penyelidik memenangi 10 anugerah pada pameran itu iaitu dua pingat emas, empat perak dan empat gangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Anugerah khas itu dimenangi Dr Anis Nurashikin Nordin menerusi ciptaan cip mikro mengesan barah yang dikenali MicroFluidics Lab-On-A-Cip yang turut memenangi pingat perak.

Manakala Double Gold dimenangi dua penyelidik iaitu Prof Dr Ahmad Faris Ismail melalui ciptaan Electromagnetic Actuator Dan Dr Salmiah Ahmad menerusi ciptaan iWC: Wheelchair for independence.

Dr Anis Nurashikin berkata anugerah khas yang diperoleh ke atas ciptaan mikco cip amat membanggakan pasukannya kerana diiktiraf antara ciptaan berkualiti.

Katanya MicruFluidics yang dicipta enam tahun lalu kini bagi menggantikan kaedah kimoterapi bagi mengesan sel barah dihidapi pesakit bukan saja dipaten di Malaysia tetapi termasuk di Amerika Syarikat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:05 AM