Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Petaling Jaya : Biarpun menerima persaingan hebat daripada stesen radio berbahasa Malaysia lain, Hot FM membuktikan keunggulannya apabila masih kekal menjadi satu pilihan utama dalam kalangan pendengar 30 tahun ke bawah dengan peningkatan 42,000 pendengar baru di kawasan sentral.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Radio Media Prima (MPRN), Seelan Paul berkata, mereka juga terus agresif memberikan persaingan yang sihat dalam industri radio Malaysia.

“Walaupun persaingan dunia penyiaran radio semakin kompetitif dalam menyajikan hiburan serta informasi terkini kepada pendengar, itu tidak menjadi halangan buat Rangkaian Radio Media Prima untuk terus memperkukuhkan jenama Hot FM, Fly Fm dan one FM dalam kalangan pendengar Gen Y.

“Program Hot FM Krew yang menggandingkan trio Farah, AG dan Fizie ternyata digemari oleh generasi muda apabila terus mendapat perhatian pasaran Gen Y (15 -29) dengan peningkatan 31,000 pendengar.

“Hot FM juga mencatatkan peningkatan sebanyak 64 peratus untuk pendengar dengan pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM5,000. Hot FM turut mendominasi kategori golongan professional, eksekutif, pengurus dan ahli perniagaan (PMEBs) dengan peningkatan sebanyak 24 peratus,” katanya.

Seelan berkata, berpegang teguh kepada sasaran Gen Y, Hot FM, Fly Fm dan one FM terus kekal relevan dalam menghasilkan idea kreatif dan inovatif untuk memenuhi keperluan para pendengar.

“Seiring dengan perkembangan platform media sosial dan digital, MPRN terus berkembang menerusi interaktiviti antara pendengar dan penyampai. Usaha berterusan untuk ‘superserve’ pasaran GEN Y telah mencatat peningkatan positif berdasarkan penelitian terbaru AC Nielsen,” katanya.

Menurutnya, sejajar dengan perkembangan teknologi, Hot FM mempunyai pengikut media sosial terbesar untuk radio di Malaysia, menjangkau lebih 3.6 juta pengikut di Facebook, Twitter dan Instagram.

“Peningkatan harian pengikut media sosial membolehkan pendengar berkomunikasi dengan lebih mesra bersama penyampai. Fly Fm pula sekali lagi mengekalkan kedudukannya sebagai radio berbahasa Inggeris nombor dua negara.

“Gandingan duo Ben dan Hafiz membawa impak yang positif apabila segmen pagi mencatatkan kenaikan sebanyak 34 peratus. Fly Fm turut menunjukkan peningkatan ketara pendengar urban di kawasan utara dengan kenaikan sebanyak 59 peratus.

“Selain itu, Fly Fm mencatatkan kenaikan sebanyak 127 peratus untuk pekerja kolar putih. one FM pula sejak awal operasi terus memberi keputusan memberangsangkan.

“Untuk kajian kali ini, one FM meletakkan kedudukan sebagai stesen radio berbahasa cina nombor dua negara apabila menguasai demografik 35 tahun ke bawah dengan 1.1 juta pendengar .

“Gandingan Jack dan Yoon dalam segmen Morning Kaki terbukti sebagai segmen pagi nombor satu untuk 18 – 29 demografik. one FM turut mencatatkan peningkatan di kawasan utara (49 peratus) serta pendengar urban (65 peratus) dan PMEBs (59 peratus),” katanya.

Seelan berkata, perubahan terkini yang dibuat membabitkan program dan barisan penyampai turut menyumbang kepada peningkatan pendengar dengan isi pendapatan RM8000 ke atas untuk Hot FM (22 peratus), Fly Fm (41peratus) dan one FM (73 peratus).

Secara keseluruhan, ketiga-tiga stesen radio di bawah MPRN turut mencatat kenaikan positif untuk tempoh masa mendengar dalam kalangan pendengar (TSL – Time Spent Listening).

Sebagai inisiatif mempertingkatkan lagi industri hiburan tanah air, Hot FM aktif mencari bakat baru menerusi Projek E.P yang memberi peluang kepada penyanyi dan komposer amatur berkarya.

“Selain itu, Hot FM juga mencari pelapis penyampai baru menerusi Projek Radio. Turut serta menyokong industri muzik, Fly Fm juga menyajikan persembahan akustika oleh penyanyi tempatan khas untuk pendengar melalui Fly Fm Stripped.

“one FM pula aktif merancang pelbagai aktiviti khidmat sosial (CSR) yang mesra dan peribadi seperti lawatan ke Zoo Negara untuk memberi peluang kepada anak yatim mengenali Panda dan menyokong usaha untuk menyelamatkan ikan jerung menerusi kempen ‘I’m Finished With Fins,” katanya.

“Fly Fm juga bakal mengendalikan kempen CSR menerusi ‘Movember’ yang menyokong kempen kesedaran kanser prostat pada November ini manakala Hot FM bakal mengadakan sesi usrah bersama penceramah jemputan sebagai persediaan tahun baru, Disember ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:16 AM