PENGARAH Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul ketika melancarkan platform digital baru di bawah Media Prima Berhad di Dewan Mercu Mustapha Kamal. FOTO Eizairi Shamsudin
PENGARAH Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul ketika melancarkan platform digital baru di bawah Media Prima Berhad di Dewan Mercu Mustapha Kamal. FOTO Eizairi Shamsudin
Sudirman Mohd Tahir


MEDIA Prima Berhad (MPB) mengumumkan pertukaran nama Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) kepada Ripple sekali gus melancarkan tujuh platform digital di bawah jenama baru itu.

Ia terdiri daripada Lunaria dan The Laki (Hot FM), Dhia dan Donna (Kool FM), Likely (Fly FM), Chapters dan Wakeke (One FM).

Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul berkata, setiap platform digital itu mempunyai laman web, laman sosial dan personaliti sendiri untuk menarik lebih ramai pengguna digital.

“Jika setiap stesen radio mempunyai sasaran pendengar tertentu, berbeza dengan tujuh platform digital ini yang mana lebih terbuka kepada sasaran pengguna digital sekali gus memenuhi kehendak klien masa kini.

“Paling penting, kesemua digital platform ini berdiri sendiri. Apa saja dibuat, fokus isi kandungan adalah pada pengguna yang mana ia perlu bermanfaat untuk sasaran. Jadi, perlu berikan yang terbaik untuk mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Seelan yang ditemui pada majlis pelancaran Ripple di Kuala Lumpur, hari ini berkata, idea itu mula dibincangkan sejak Mac lalu sebelum kertas kerja penuh diserahkan kepada pengurusan pada Mei.

“Apabila ia diluluskan, kami mulakan gerak kerja dalam tempoh lima bulan termasuk mencari personaliti sesuai bagi mewakili setiap platform digital ini. Buat masa sekarang kami ada 50 personaliti yang merangkumi tujuh platform digital berkenaan.

“Kami perlukan mereka yang boleh menulis dan bercakap di hadapan video. Dalam erti kata lain, mereka perlu serba boleh sebab segalanya buat sendiri.

“Selain itu, setiap personaliti ini perlu ada pengetahuan dan ilmu mengenai jenama diwaliki supaya pengisian disampaikan tepat,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan nama, Seelan berkata, ia mahu dikenali sebagai satu jenama perniagaan dan bukannya saluran radio semata-mata.

“Radio masih beroperasi seperti biasa, cuma kita tambah tujuh jenama baru yang memberi fokus kepada pengguna digital. Tidak akan wujud konflik antara radio dan platform digital ini.

“Sebaliknya, ia membantu mengembangkan isi kandungan radio dan platform digital itu,” katanya.

Majlis pelancaran Ripple disempurnakan Pengarah Urusan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 6:19 PM