Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenalan dengan Che Puan Khaleeda Bustamam di laman Twitter sejak dua tahun lalu sebelum Tunku Ismail menyatakan hasratnya untuk memperisterikan pilihan hatinya itu beberapa bulan lalu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, ketika Tunku Ismail meminta restunya untuk mendirikan rumah tangga, baginda memintanya mendapatkan restu isterinya Raja Zarith Sofiah.

“Permintaannya direstui dengan penuh kesyukuran. Beta mahu putera sulung mengakhiri zaman bujangnya dan ia lebih gembira sekiranya dia menghadiri upacara pertabalan Sultan Johor tahun depan di Istana Besar bersama isterinya,” katanya.

Che Puan Khaleeda yang juga anak bongsu daripada lima beradik adalah anak kepada pasangan Bustaman Daud dan Aziyah Abdul Aziz yang menetap di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ketika ditemui baru-baru ini, Tunku Ismail menyatakan Che Puan Khaleeda antara rakan baiknya sejak beberapa tahun lalu.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, ketika menyatakan hasrat mahu mengahwini pilihan hatinya itu, gadis berkenaan hanya bersenyum.

“Kami serasi dan saya boleh berkomunikasi dengannya kerana mempunyai minat yang sama dan dia juga meminati sukan bola sepak. Apa yang saya dapati bahawa hormat-menghormati dan komunikasi adalah amat penting dalam hubungan.

“Ibunda dan adinda saya juga amat menyenangi Khaleeda,” katanya yang menyatakan baginda merahsiakan perancangannya selama ini kerana tidak mahu media menunjukkan minat terhadap perkahwinannya berbanding perkembangan dunia bola sepak tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:07 AM