Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa membuat pemantauan rapi ke atas skim pelaburan haram serta menggunakan nama institusi pelaburan berdaftar yang semakin berleluasa dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pihaknya sedar mengenai skim pelaburan yang menipu orang ramai.
“Apabila pelabur dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi, mereka patut sedar perkara itu tidak boleh dipercayai langsung.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum membuat pelaburan menggunakan wang hasil titik peluh mereka,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai keluhan lebih 200 pelabur yang gagal mendapat pulangan selepas melabur sebanyak RM22 juta sejak pertengahan tahun lalu.

Kebanyakan mereka diyakinkan oleh ejen yang mendakwa mewakili AmFutures Sdn Bhd yang juga anak syarikat Kumpulan Perbankan AmBank (AmBank)

Bagaimanapun, AmBank menerusi kenyataannya menafikan AmFutures terbabit dan ejen berkenaan juga tidak mewakili mereka untuk mengambil wang pelaburan.

Zeti Akhtar berkata, BNM akan lebih menekankan kepada pendidikan kewangan kepada rakyat Malaysia dalam menangani hal berkenaan.

“Selain daripada hebahan iklan di surat khabar, saya rasa hebahan di televisyen juga perlu untuk mendidik orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:08 AM