SHARUM (berbaju merah) dibawa keluar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SHARUM (berbaju merah) dibawa keluar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang pembantu perawatan kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM300 bagi pemberian kerja pengurusan jenazah di Hospital Kajang tahun lalu.

Tertuduh, Sharum Hassim, 41, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Sharum yang juga kakitangan Hospital Kajang didakwa menerima suapan berjumlah RM300 daripada seorang individu berusia 33 tahun pada 9 Disember tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya, Sungai Petani menerusi satu akaun di bank berkenaan.

Tertuduh didakwa menerima wang berkenaan sebagai upah bagi memberikan kerja pengurusan satu jenazah dari Unit Forensik Kajang, kepada lelaki terbabit yang dipercayai merupakan ejen pengurusan jenazah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bahawa Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan dengan dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM300 daripada individu sama.

Dalam pertuduhan pilihan, Sharum didakwa menerima wang itu pada tarikh, lokasi serta menerusi akaun bank sama tanpa sebarang balasan daripada individu berkenaan, dengan tertuduh mengetahui perkara itu ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang bagi kerja pengurusan jenazah.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman sementara tertuduh diwakili peguam, Ibrahim Ismail.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Dia turut diarahkan melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Shah Alam atau yang berdekatan.

Harmi Thamrimenetapkan sebutan semula kes pada 10 Januari depan dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas permintaan pihak pendakwaan.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan lima individu ditahan SPRM kerana disyaki menerima wang suapan daripada ejen bagi kerja pengurusan jenazah.

Tiga daripada individu yang ditahan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 8 Disember lalu manakala seorang lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh sehari selepas itu.

Kesemua mereka kakitangan di Hospital Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 5:57 PM