MACBOOK Air
MACBOOK Air
Muhammad Saufi Hassan

Tanpa ada pengumuman pra pelancaran, Apple secara mengejut memperkenalkan generasi baharu MacBook Air yang dikuasakan dengan barisan cip pemproses M3 mereka.

Sebelum ini, cip berkenaan diperkenalkan untuk MacBook Pro sekali gus mengubah landskap kepenggunaan, produktiviti dan peranti itu turut berkuasa untuk melancarkan permainan.

Kali ini, giliran MacBook Air menerima cip baharu berkenaan sekali gus memberikan kuasa yang lebih baik serta efisien jika dibandingan dengan generasi terdahulu.

Menerusi mengenalan M3 untuk MacBook Air berkenaan, ia menawarkan 60 peratus lebih pantas dengan model M1 dan lebih 13x pantas jika dibandingkan dengan MacBook Air yang menggunakan platform Intel.

Pengenalan cip baharu itu juga menjadikan enjin pemproses neural lebih efisien dan ia ditawarkan untuk dua variasi iaitu MacBook Air 13 inci dan 15 inci.

Jangka hayat bateri pula turut mengagumkan apabila mampu bertahan lebih 18 jam biarpun dengan penggunaan paling optimum dan dipadankan bersama paparan Liquid Retina  serta sokongan sehingga dua paparan luaran (external display).

Naib Presiden Kanan Apple Pemasaran Seluruh Dunia, Greg Joswiak berkata, MacBook Air ini adalah model paling popular untuk Mac.

"MacBook Air ialah Mac kami yang paling popular dan digemari, dengan lebih ramai pelanggan memilihnya berbanding mana-mana komputer riba lain dan hari ini ia menjadi lebih baik dengan cip M3 dan keupayaan baharu.

"Daripada pelajar kolej yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, kepada pengguna perniagaan yang memerlukan produktiviti yang berkuasa, atau sesiapa sahaja yang hanya mahukan gabungan prestasi, mudah alih dan hayat bateri yang tidak dapat ditandingi, semuanya dalam reka bentuk tanpa kipas, MacBook Air baharu terus menjadi komputer riba nipis dan ringan terbaik dunia," katanya.

Peranti itu dibina dengan teknologi 3 nanometer, cip M3 membawakan kuasa pantas dan memberikan kelebihan kepada MacBook Air.

Ia menampulkan Unit Pemproses Pusat (CPU) dengan lapan teras, lebuh 10 teras Unit Pemproses Grafik (GPU) dan sokongan sehingga 24GB memori terpadu menjadikan generasi MacBook Air baharu ini 60 peratus lebih berkuasa.

Peranti ini juga mampu untuk menggalas tugasan kompleks seperti suntingan video tanpa sebarang masalah hasil padanan cip M3 berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 9:58 PM