Oleh Muhammad Saufi Hassan


Pengeluar perkakas permainan terkemuka, Acer menerusi generasi Predator memperkenalkan skrin paparan kelas permainan panel OLED sekali gus memberikan kesan visual realistik. 

  Ia adalah generasi pertama daripada variasi skrin paparan Predator menggunakan paparan OLED serta memberikan pengalaman permainan lebih baik kepada pengguna.

  Menerusi pengenalan itu, dua variasi diperkenalkan iaitu daripada Predator X27U WQHD OLED dan CG48 4K OLED.

  Bagi Predator X27U WQHD OLED berkenaan, ia menggunakan kadar segar semula 240Hz bersama-sama dengan masa respons 0.03ms termasuk menyokong teknologi AMD Freesync Premium.

  Skrin paparan kelas permainan ini juga turut mempunyai sokongan HDR10 bersama-sama dengan TUV Rheinland Eyesafe dengan kadar kecerahan 1000 nits sesuai untuk semua jenis kandungan serta genre permainan.

  Selain itu, Predator CG48 4K OLED pula menawarkan kandungan dengan paparan resolusi 4K bersama-sama dengan kadar segar semula 138Hz.

  Skrin ini mempunyai sokongan HDMI 2.1 dan DisplayPort 1.4 mengikut pilihan kesesuaian pengguna.

  Tanda harga untuk Predator X27U bermula daripada RM3,999 manakala untuk CG48 4K pula adalah RM5,999.

  Sementara itu, Pengarah Perniagaan Konsumer, Produk dan Pemasaran Acer, Johnson Seet berkata, jenama Predator sudah berkembang bersama ekosistem permainan di negara ini sejak 2015.

  "Kami (Acer Malaysia) memainkan peranan penting secara konsisten dalam pengembangan industri dengan bekerjasama secara aktif dan menyokong segmen pemain profesional dan kasual, penstriman langsung, acara berkaitan permainan dan institusi pendidikan.

  "Liga Predator yang bermula pada 2017 adalah bukti komitmen kami untuk menyokong industri permainan tempatan dan kejohanan ini menyediakan platform untuk pemain mengasah bakat serta kemahiran," katanya.

 Sempena penganjuran Liga Predator 2024 berkenaan, Acer memperkenalkan dua skrin paparan OLED baharu mereka sekali gus menjadi skrin paparan panel OLED pertama jenama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 2:33 PM