Oleh Muhammad Saufi Hassan


Syarikat penyedia telekomunikasi terkemuka, YTL Communications melancarkan inisiatif pakej baharu dikenali sebagai 'YES Kasi Up' yang dicipta untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan aliran tunai.

  Ia juga bertitik tolak kepada situasi semasa yang mencabar dan aliran tunai menjadi objektif utama setiap rakyat.

  Pakej YES Kasi Up itu juga adalan program pertama yang menawarkan pulangan wang tunai kepada pengguna sekali gus membantu menghadapi saat mencabar pada ketika ini.

  Inisiatif ini menampilkan pelan data paling mampu milik di dalam pasaran telekomunikasi dan menggunakan model rujukan pelanggan  sekali gus pengguna YES yang dirujuk akan mendapat ganjaran tunai (referral programme).

  Pengarah Urusan YTL Communications Datuk Yeoh Seok Hong berkata, pelan YES Kasi Up Prabayar 15 menawarkan tempoh sah selama 30 hari berharga RM15 sebulan untuk penggunaan data 10GB.

  Menurutnya, ia menawarkan tiga faktor utama yang menjadikannya pelan terbaik iaitu termurah di dalam pasaran telekomunikasi selain menawarkan jumlah data tertinggi serta tempoh sah paling lama.

  "Jika dibandingkan, pelan serupa yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi lain di dalam pasaran hari ini adalah sekitar RM30 sebulan.

  "Bagi pelan YES Kasi Up Pasca Bayar 49 pula, ia menawarkan langganan percuma selama enam bulan pertama bagi kontrak selama dua tahun pada harga RM49 dengan data 100GB.

  "Data dianggap sebagai satu kemudahan asas, ia sama penting berbanding elektrik dan air," katanya.

  Beliau berkata, sebagai penyedia kemudahan ini, pihaknya mesti bersikap inklusif sekali gus inisiatif itu mampu melakukan perubahan sebenar dengan menurunkan harga dan bukannya sekadar memberikan data tambahan tetapi tetap mengekalkan harga tinggi.

  "Isu paling meruncing bagi rakyat hari ini adalah masalah aliran tunah dan prihatin terhadap keadaan itu, kami menawarkan langganan percuma untuk enam bulan pertama dalam pelan pasca bayar kami.

  "Ia juga membolehkan pengguna menggunakan wang berkenaan untuk barang keperluan harian yang penting.

  "Pelanggan bukan hanya boleh berjimat dengan YES Kasi Up, mereka juga boleh menjana pendapatan dan berkongsi hasil usaha mereka.   Katanya, ,odel program rujukan pelanggan ini sangat mudah dan boleh difahami oleh semua orang. 

  "Ia tidak memerlukan kemahiran istimewa, tiada latihan, tiada modal diperlukan. Hanya rujuk YES kepada rakan serta ahli keluarga dan dapatkan ganjaran tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 3:08 PM