Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sesuai dengan peranti produktiviti, padanan iPad bersama papan kekunci khusus tidak pernah mengecewakan dan ia menjadikan pengalaman pengguna lebih baik.

  Kali ini, Microsoft sudah melancarkan kemas kini baharu untuk perisian ikonik mereka iaitu 'Office' khusus untuk platform aplikasi iPad sekali gus menyokong pad sesentuh dan penggunaan tetikus.

  Pembangun perisian itu sebelum ini sudah berjanji pada awal tahun ini untuk melakukan kemas kini versi baharu perisian berkenaan untuk sistem operasi iPad iaitu, iPadOS.

  Pengguna kini boleh menikmati kemas kini baharu berkenaan untuk tiga aplikasi utama iaitu Word, Excel dan PowerPoint.

  Perisian Office untuk iPad berkenaan membolehkan pengguna untuk memakai pad sesentuh terbina bagi papan kekunci, Magic Keyboard Apple.

  Kemudahan itu termasuk navigasi untuk teks, gambar dan objek lain di dalam Word, Excel dan PowerPoint.

  Kursor persis konteks itu membolehkan pengguna untuk melabel teks, mengubah saiz imej serta carta untuk PowerPoint atau melabel pelbagai kolum untuk Excel.

  Kemas kini baharu itu membolehkan pengguna menikmati kemudahan perisian Office persis penggunaan di peranti Mac atau desktop.

  Selain sokongan tetikus dan pad sesentuh, Microsoft juga menambah ciri baharu iaitu Fluent UI untuk aplikasi Office di iPad.

  Pemuka Fluent itu akan menjadikan aplikasi berkenaan lebih mesra pengguna dengan rekaan moden dan memudahkan untuk melakukan pencarian sesuatu dokumen khusus.

  Kemas kini berkenaan sudah dilaksanakan dan ada pengguna yang sudah mendapatkan kemas kini.

  Microsoft menjangkakan bahawa semua pengguna akan mendapat kemas kini baharu itu beberapa minggu lagi.

  

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 10:49 PM