EMEL yang dihantar untuk mengugut mangsa.
EMEL yang dihantar untuk mengugut mangsa.
Muhammad Saufi Hassan


PENGGODAM kini menggunakan modus operandi menghantar emel kepada mangsa kononnya mempunyai akses komputer atau peranti secara pintu belakang (back-end) dan meminta sejumlah wang daripada individu yang disasarkan.

Emel berkenaan juga akan disertakan dengan kata laluan bagi meyakinkan mangsa bahawa penggodam mempunyai kawalan terhadap peranti dan melakukan ugutan untuk menyebarkan fail sulit termasuk data sensitif pengguna.

Mereka akan meminta sejumlah wang kepada mangsa dan jika tidak dilayan dalam tempoh 24 jam, semua fail sensitif akan disebarkan kepada pihak ketiga.

Perkara itu didedahkan oleh pakar keselamatan siber, Fong Chook Fook yang menerima beberapa aduan pengguna sejak awal malam tadi.

“Pengguna yang bimbang serta panik akan melakukan transaksi pembayaran kepada penggodam sedangkan hakikat sebenarnya, mereka (penggodam) tidak mempunyai sebarang akses kepada peranti mangsa.

“Kata laluan serta alamat emel itu sebenarnya diperoleh daripada laman ‘Darkweb’ dan penggodam yang membeli data maklumat terbabit cuba untuk memperdayakan mangsa dengan emel ugutan terbabit.

“Ada pengguna yang membayar sejumlah wang berkenaan kerana takut maklumat sensitif mereka disebarkan kepada pihak ketiga. Emel berkenaan mengatakan bahawa satu perisian hasad sudah dipasang kepada peranti tatkala pengguna melayari laman web meragukan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengingatkan kepada semua pengguna di negara ini supaya tidak mudah terpedaya dengan muslihat penggodam yang kononnya mereka mempunyai akses kepada peranti termasuk semua fail simpanan.

Menurutnya, pengguna dinasihatkan sentiasa berwaspada tatkala menerima emel seperti ini atau mengemukakan laporan kepada agensi teknikal seperti CyberSecurity Malaysia (CSM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 10:31 AM