CSM rekod 838 insiden dilaporkan orang awam bermula 18 Mac lalu hingga 7 April lalu
CSM rekod 838 insiden dilaporkan orang awam bermula 18 Mac lalu hingga 7 April lalu
Muhammad Saufi Hassan

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dan dilanjutkan sehingga 28 April depan memperlihatkan peningkatan laporan kes berkaitan keselamatan siber.

Peningkatan itu berkaitan dengan kebanyakan orang awam terpaksa melakukan tugasan pejabat di rumah dan keadaan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada pihak ketiga untuk melakukan penggodaman sama ada menerusi peranti atau perisian yang tidak selamat.

Berdasarkan rekod CyberSecurity Malaysia (CSM) merekodkan 838 insiden dilaporkan orang awam kepada agensi teknikal berkenaan bermula 18 Mac lalu hingga 7 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, daripada jumlah keseluruhan berkenaan, 152 kes membabitkan syarikat tempatan turut menjadi mangsa kepada jenayah siber berkenaan.

“Jumlah insiden keselamatan siber membabitkan syarikat tempatan adalah 18 peratus dan selebihnya membabitkan individu perseorangan dan beberapa lagi kategori lain yang turut menjadi mangsa.

“Rekod kami juga menunjukkan ia adalah peningkatan paling drastik jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 459 kes dan ini mempunyai kaitan dengan pelaksanaan PKP.

TAKTIK terbaharu penggodam menggunakan e-mel kononnya mempunyai akses kepada peranti pengguna.
TAKTIK terbaharu penggodam menggunakan e-mel kononnya mempunyai akses kepada peranti pengguna.

“Kebanyakan kategori kes yang dilaporkan adalah membabitkan penipuan atas talian, pencerobohan akaun tertentu dan gangguan siber oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya kepada #ITMetro, baru-baru ini.

Beliau berkata, peningkatan kes membabitkan insiden siber ini sangat berkait rapat dengan situasi semasa neagara apabila kebanyakan pengguna menjadikan platform Internet untuk melakukan tugasan harian, pembelajaran maya, membeli-belah dan melakukan transaksi perbankan.

Menurutnya, contoh kes pencerobohan ini termasuk melakukan penggodaman kepada peranti pengguna atau memecah masuk untuk memperoleh maklumat sensitif pengguna.

“Ini termasuk penggunaan e-mel ‘phishing’ bagi memperdayakan pengguna memandangkan penggodam ini sangat peka terhadap keadaan persekitaran terkini tatkala orang ramai mahu mendapatkan maklumat lanjut berkenaan virus Covid-19.

“Tempoh ini juga kritikal berikutan kepenggunaan Internet begitu optimum dan kesedaran pengguna terhadap keselamatan siber sangat penting seperti sentiasa melaksanakan langkah perlu untuk mengurangkan risiko serangan dalam tempoh ini,” katanya.

Pada masa sama, tiada laporan berhubung ketirisan data atau video berhubung aplikasi sidang video, Zoom dilaporkan di negara ini sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Organisasi berskala besar juga tidak terlepas apabila mereka turut dijadikan sasaran serangan siber terutama berbentuk DDOS untuk melumpuhkan perkhidmatan atas talian kepada pelanggan.

ISU keselamatan siber menjadi fokus sepanjang musim PKP bukan saja di Malaysia tetapi juga  di negara lain.
ISU keselamatan siber menjadi fokus sepanjang musim PKP bukan saja di Malaysia tetapi juga di negara lain.

Dr Amirudin
Dr Amirudin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 7:00 AM