Muhammad Saufi Hassan


KEBANYAKAN pengguna telefon pintar hari ini sering memilih keupayaan kamera peranti berkenaan berbanding aspek lain.

Ini kerana mereka sangat terkait dengan media sosial dan kamera yang baik pasti mampu menghasilkan imej berkualiti.

Wujud beberapa kriteria pemilihan telefon pintar bagi kebanyakan pengguna dan mereka sebenarnya lebih mudah memilih sesuatu peranti yang mempunyai keupayaan kamera.

Keupayaan kamera sesebuah peranti jika dibandingkan dengan jenama lain sebenarnya tidak jauh berbeza kerana boleh dikatakan setiap peranti kelas perdana yang berada di pasaran mempunyai prestasi hampir sama.

Pemilihan pengguna berdasarkan keupayaan kamera, sistem operasi sesebuah peranti, memori (RAM) yang ditawarkan, jumlah kapasiti storan dan jenama.

Satu kajian sikap dilaksanakan sebuah firma kajian bebas di United Kingdom mendedahkan tidak ramai pengguna sedar berhubung spesifikasi teknikal telefon pintar mereka.

PENGGUNA sering melihat kepada aspek keupayaan kamera sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu peranti.
PENGGUNA sering melihat kepada aspek keupayaan kamera sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu peranti.

Keadaan itu memberi gambaran pengguna tidak prihatin atau mungkin tiada pengetahuan teknikal berkaitan spesifikasi telefon pintar milik mereka.

Kajian sikap itu yang dilakukan secara dalam talian turut menunjukkan dapatan peratusan yang sangat tinggi untuk prestasi kamera sesebuah peranti dan kriteria kedua pemilihan pengguna adalah jenama peranti.

Dua faktor itu sangat berkait rapat kerana pengguna memberi kepercayaan kepada sesuatu jenama yang dekat di hati mereka walaupun perlu membayar dengan harga yang tinggi untuk sesebuah peranti.

Kurang daripada 25 peratus dapatan menunjukkan pemilik peranti mengetahui spesifikasi teknikal telefon pintar mereka dan memberikan jawapan yang tepat berhubung kaitan spesifikasi dan prestasi sesebuah peranti.

Lebih daripada 65 peratus pembeli membuat pemilihan pembelian telefon pintar apabila melihat keupayaan kamera peranti itu menerusi iklan elektronik selain melakukan carian di Internet.

Selebihnya adalah pembeli yang hanya akan membeli peranti keluaran sesebuah jenama saja kerana dikategorikan jenama berkenaan ‘mesra’ dengan mereka dan memberi kepercayaan kepada jenama itu.

KEUPAYAAN kamera diukur berdasarkan prestasi peranti pada waktu malam atau pencahayaan kurang
KEUPAYAAN kamera diukur berdasarkan prestasi peranti pada waktu malam atau pencahayaan kurang

Firma kajian itu juga menerangkan keadaan itu berlaku apabila masyarakat dunia pada hari ini mempunyai perkaitan rapat dengan media sosial dan setiap perkara yang menyeronokkan atau peristiwa penting akan diabadikan di dalam akaun media sosial mereka.

Oleh sebab itu, pengguna memerlukan keupayaan kamera peranti mereka yang sangat baik supaya ia tidak terbatas merakam gambar ketika pencahayaan baik saja, malah lebih penting ketika keadaan suram atau gelap.

Merakam gambar pemandangan lampu di kota besar tumpuan pelancong menjadi trend pencinta laman sosial apabila mereka seakan berlumba memuat naik gambar terbaik daripada telefon pintar mereka.

Kebanyakan jenama utama seperti Samsung, Apple dan Huawei sememangnya mempunyai keupayaan kamera pada waktu malam yang mengagumkan dan ia memberi kelebihan kepada jenama itu untuk terus menjadi pilihan pengguna kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 1:26 PM