KUASA besar Industri 4.0.
KUASA besar Industri 4.0.
Afiq Hanif

Kecanggihan mesin yang menjurus kepada penggunaannya kian pesat membangun dalam era revolusi industri dan teknologi menjadikan pasaran tenaga guna kerja semakin berdaya saing.

Jika sekarang pun, masyarakat sukar mencari peluang pekerjaan jika skil tidak ada apatah lagi masa depan yang menggunakan strategi luar biasa termasuk penggunaan robotik terutama bagi industri sibuk seperti perkilangan dan pertanian.

Inilah dinamakan ‘Industri 4.0’ yang sedang menjadi topik hangat diperkatakan di peringkat global.

Industri 4.0 mula-mula diperkenalkan oleh warga Jerman pada 2011 namun pada masa kini, terdapat banyak definisi mengenainya sehinggakan mungkin sukar bagi individu biasa memahami makna sebenar.

Namun secara mudah, kita definisikannya sebagai program robot.

Bukanlah perkara baru apabila membincangkan mengenai robot dalam tenaga kerja kerana boleh dikatakan ia sudah sebati dalam industri namun bagi industri 4.0, ia bakal mengalami revolusi lebih besar.

Jika dulu ia sekadar mesin, Industri 4.0 akan menyaksikan mesin terbabit kini dapat menghantar, menerima dan bertindak mengikut arahan yang disambungkan kepada sistem pengacaraan setempat dan melalui rangkaian.

Lebih tepat, ia bersangkut paut dengan keupayaan Internet untuk segalanya (IoT) yang berinteraksi menggunakan Internet.

Apabila semuanya mampu diinternetkan, interaksi dengan mesin lain serta manusia untuk mengeluarkan barangan dan menjalankan perkhidmatan lebih cekap mampu direalisasikan.

Dalam erti kata lain, Industri 4.0 lebih daripada sekadar mesin kosong tetapi ia memahami operasi kerja yang lebih terperinci.

Kita ambil contoh bagaimana ia boleh digunakan dalam industri pertanian yang menyaksikan pengesan tertentu bukan saja mampu menentukan keadaan cuaca malah ia berupaya memaklumkan jumlah air diperlukan tanaman dan keadaan cuaca kemudian memaklumkannya kepada mesin lain.

Mesin lain pula akan menghasilkan nutrisi tertentu mengikut bacaan pengesan tadi bagi menjadikan tanaman lebih terpelihara dan lebih hebat apabila ia dilakukan boleh dilakukan setiap saat tanpa henti setahun.

INDUSTRI 4.0 hasil IoT.
INDUSTRI 4.0 hasil IoT.

Inilah yang dinamakan Industri 4.0!

Ia memang boleh dibayangkan dengan pengesan yang digunakan bersama sistem melalui rangkaian komunikasi komputer, kita boleh mengesan produktiviti setiap pokok, bukan setakat setiap plot atau sebuah estet.

Ia tidak terhenti di situ, kita boleh pula menganggarkan jumlah hasil dituai tanaman terbabit dan menganggarkannya untuk masa depan.

Melalui permintaan semakin meningkat untuk kebolehkesanan, penggunaan Industri 4.0 mungkin dapat membantu pengguna memperoleh bekalan yang tidak terganggu misalnya pada musim perayaan dan pastinya membantu mengurangkan harga serta spekulasi pasaran.

Pada peringkat awal, Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 ini, teknologi digital sudah memasuki sistem fizikal seperti pada hari ini.

Pada masa sama, permintaan terhadap tenaga kerja asing boleh dikurangkan dengan automasi besar-besaran dalam pengeluaran.

Penggunaan sistem penderiaan, komputer dan komunikasi pada kenderaan, dron dan mesin lain boleh dicapai sepenuhnya hari ini.

Manakala penggunaan sistem pengesanan global (GPS) dan rangkaian mudah alih dengan data besar sudah menjadi biasa.

Oleh itu, masyarakat perlu berani mengambil peluang, peka dan bersedia menempatkan diri pada era Industri 4.0 bagi mengelak ketinggalan dengan setiap perubahan.

Revolusi industri hari ini begitu pesat membangun dengan penggunaan teknologi maklumat tanpa sempadan dengan strategi yang luar biasa, termasuk penggunaan robotik menerajui bidang industri menjadikan pekerja perlu bijak mengambil peluang untuk memasarkan diri supaya tidak ketinggalan.

Malah, industri secara tradisional tidak berupaya membantu meningkatkan peluang menjana pendapatan lebih tinggi dan menjamin keselesaan dalam perniagaan memandangkan kebanyakan urusan beralih secara ‘online’.

PROSES automatik guna perisian.
PROSES automatik guna perisian.

Masyarakat perlu berfikir secara kritikal dan membina rangkaian sebanyak mungkin di seluruh dunia menggunakan teknologi pada hari ini sangat berguna untuk saling membantu dalam industri itu.

Revolusi Industri 4.0 disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 yang dibentangkan minggu lalu di bawah pelaksanaan Dasar Digital Malaysia apabila mengumumkan langkah memberi galakan cukai dalam melaksanakannya.

Ia membabitkan lanjutan tempoh insentif Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 sehingga 2020.

“Kerajaan turut memperuntukkan Elaun Modal bagi peralatan ICT, termasuk perbelanjaan pembangunan perisian komputer layak dituntut sepenuhnya mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020,” katanya ketika pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat.

Malah, kerajaan juga akan menyediakan geran sepadan sebanyak RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik.

“Dana itu akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing bertujuan menyokong aktiviti pelaburan dan perniagaan Revolusi Industri 4.0.

“Selain itu, Futurise Centre di Cyberjaya juga akan dikukuhkan sebagai pusat sehenti syarikat korporat dan universiti untuk membangunkan prototaip produk serta melonjakkan daya inovasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood, berkata kekuatan kecerdasan pintar (AI) menjadi penentu kepada Industri 4.0.

“Bajet 2018 yang dibentangkan bersesuaian dengan realiti dunia kini yang aktif berhubung.

“AI adalah perkembangan semula jadi dalam analisis data, oleh itu, Malaysia perlu mula melihat pembangunan rangka kerja AI nasional yang akan menjadi pengembangan analisis data besar (BDA),” katanya.

Menurutnya, AI adalah ‘game changer’ dalam Industri 4.0 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 2:01 PM