ACER perkenal produk pelbagai guna untuk bekerja, bermain atau berkongsi cerita.
ACER perkenal produk pelbagai guna untuk bekerja, bermain atau berkongsi cerita.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Acer, Jason Chen (kanan) menunjukkan Predator Orion 9000 pada majlis pelancaran di next@acer 2017 di Berlin, Jerman, baru-baru ini.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Acer, Jason Chen (kanan) menunjukkan Predator Orion 9000 pada majlis pelancaran di next@acer 2017 di Berlin, Jerman, baru-baru ini.
Next@acer yang berlangsung sempena pameran elektronik terbesar IFA 2017 di Berlin.
Next@acer yang berlangsung sempena pameran elektronik terbesar IFA 2017 di Berlin.
Husain Jahit

Next@acer yang berlangsung sempena pameran elektronik terbesar IFA 2017 di Berlin, Jerman menyaksikan gergasi elektronik yang berpangkalan di Taiwan itu memperkenalkan 16 produk baru merangkumi barisan produk perkomputeran game dan notebook hinggalah peranti khas untuk haiwan peliharaan.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Chen, Acer membawakan pelbagai produk dengan kuasa dan teknologi terkini yang diyakini mampu memenuhi kehendak serta keperluan pelbagai segmen pelanggan ketika ini.

Acer Predator Orion 9000

Jenama yang sinonim dengan penggemar permainan komputer atau game, Predator Orion 9000 paling mencuri tumpuan dengan alasan dibangunkan di atas platform ektrem berasaskan tenaga sistem grafik 4-hala dan pemproses 18 teras.

Ia dikatakan mendahului industri dari pelbagai sudut termasuk sokongannya terhadap cip pemproses terpantas Intel Core i9 bagi mewujudkan senario permainan mengagumkan, kapasiti storan sehingga 4 Terabait (TB) dan memori 128 Gigabait (GB).

Dengan keupayaan luar biasa itu, Orion 9000 diperkukuh oleh sistem penyejuk cecair ‘Icetunnel 2.0’ bagi menstabilkan keseluruhan kepenggunaan yang sudah pasti akan wujud pelepasan haba yang melampau akibat kepantasan yang dihasilkan.

Predator Galea 500

Set fon kepala yang dikatakan mampu membawa anda seolah-olah berada di dalam game, sekali gus memberi anda kebolehan untuk mendengar dan tidaklah melihat saja lokasi sebenar setiap elemen di dalam game.

Teknologi Acer TrueHarmony 3D Soundscape mencipta semula ruang akustik berasaskan orientasi kepala pemain, memujuk otak seolah-olah bunyi itu datangnya dari arah yang tetap.

Dibangunkan dengan standard 7.1 bunyi sekeliling maya bagi menghasilkan suasana permainan yang mantap ditambah pula dengan satu-satunya sistem fon kepala yang mempunyai cip pemproses sendiri untuk menjadikan bunyi yang tiada bandingan.

Acer Predator X35

Dengan adanya CPU yang bertenaga, maka X35 ialah skrin sebagai pasangan dengan panel melengkung yang menyokong sistem grafik NVIDIA F-SYNC dan Acer HDR Ultra bagi menghasilkan visual spektakular dan bermutu tinggi.

Dengan saiz skrin 35 inci, panel dengan standard paparan 21:9 untuk tahap lebar yang sesuai serta resolusi paparan WQHD 3440 x 1440 itu pasti membawa dimensi baru kepada unit pemapar bertenaga dalam segmen sukan game computer.

Masa tindak balasnya sepantas 4 milisaat dan kadar penyegaran semula berkelajuan 200 Hertz digabungkan dengan NVIDIA G-SYNC akan menjadikan permainan game lebih lancar dan seakan-akan hidup tidak tersekat-sekat.

Predator Cestus 500

Peranti tetikus khusus untuk game dengan ciri unik reka bentuk dwisuis untuk membolehkan pengguna menyelaras tahap kepekaan klik mengikut jenis game yang dimainkan. Contohnya kurang peka untuk game FPS yang memerlukan lebih tindak balas nimble atau kepekaan tinggi untuk pergerakan lancar dalam game RTS.

Aspire S24

Siri komputer desktop semua dalam satu dengan skrin 23.8 inci dan beroperasi di atas platform Windows 10. Reka bentuk paling nipis itu menjadi peranti sempurna untuk pengguna moden yang mementingkan gaya dan keupayaan.

Desktop semua dalam satu ini ini adalah yang paling nipis seumpamanya pernah dihasilkan dengan tebal unit pemapar hanya 5.97mm. Paparan tanpa sempadan dan skim warna hitam dan emas mati memastikan peranti ini menjadi titik fokus dalam setiap rumah, ditambah pula dengan rekaan yang elegan dan nampak mahal.

Dibangunkan dengan tumpuan ke atas rekaan dan kefungsian premium, Aspire S24 menyediakan pengalaman paparan yang vivid dan jelas dari semua sudut menerusi skrin IPS HD penuh 178 darjah.

Acer Chromebook 15

Dengan reka bentuk aluminium, notebook ini menjadikan hiburan lebih menyeronokkan dengan paparan besar dan jangka hayat bateri panjang sehingga 12 jam tidak kira apa juga pengunaan sama ada menonton video, bekerja, bermain game atau meneroka aplikasi.

Dibangunkan berasaskan standard paparan IPS HD penuh bersaiz 15.6 inci, ia sangat sesuai untuk berkongsi menonton bagi pengguna daripada kalangan keluarga yang memiliki anak bersekolah atau sesiapa saja di rumah.

Notebook ini juga menyokong semua aplikasi Android menerusi Google Play Store, sekali gus membolehkan pengguna mencapai kepada lebih dua juta aplikasi Android untuk lebih ceria, terhibur dan terhubung sentiasa.

Switch 7 Black Edition

Notebook super bergaya dua dalam satu ini boleh ditanggalkan dari unit papan kekuncinya untuk menjadikannya lebih fleksibel dan pelbagai penggunaannya.

Pertama di dunia sebagai notebook dua dalam satu tanpa kipas dibangunkan menggunakan sistem penyejuk berasaskan cecair Dual LiquidLoop.

Dikuasai cip pemproses Intel Core i7 generasi kelapan dan grafik NVIDIA GeForce, ia sangat sesuai untuk tugasan intensif, produksi kreatif dan penyaluran video.

Switch 7 Black Edition ini juga adalah yang pertama seumpamanya bercirikan Acer AutoStand, teknologi pembuka skrin yang dipatenkan bagi memudahkan penggunaan hanya sebelah tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 1:21 PM