BERIKUT adalah langkah-langkah senaman.
BERIKUT adalah langkah-langkah senaman.

Siti Nadirah Hafidzin

[email protected]

CANTIK dan sihat adalah dua perkara yang saling berkait rapat. Mana tidaknya, untuk tampil cantik, seseorang itu terlebih dulu perlu berada pada tahap kesihatan terbaik.

Dalam keterujaan untuk tampil cantik, ramai yang memberi alasan klise seperti kekurangan masa bersenam walaupun ia boleh dilakukan dalam beberapa sesi pendek.

Jika tidak dapat bersenam selama 30 minit dalam satu sesi, senaman boleh dibahagikan kepada dua atau tiga sesi. Walaupun disarankan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, lebih baik jika dilakukan setiap hari walaupun dalam tempoh sekejap.

Ada pula menyatakan tidak tahu jenis senaman yang boleh dilakukan walhal semua maklumat ini ada di hujung jari sama ada klip video yang dimuat naik di Internet, majalah mahupun akhbar sejak sekian lama.

Jadi, semua alasan itu tidak boleh diterima. Kalau mahu sihat dan cantik, perlu luangkan sedikit masa selain belajar cara mendapatkan pemakanan seimbang.

Paling mudah ialah berjalan pantas mengikut kemampuan diri kerana berjalan antara senaman paling mudah dan ringan, boleh dilakukan sesiapa saja dan semua peringkat usia serta ia sangat baik untuk kesihatan jantung.

Jika tidak mahu keluar rumah, anda masih boleh bersenam di ruang tamu dengan berjalan setempat atau menggoyangkan badan mengikut rentak lagu.

Senaman untuk kesihatan jantung bukan saja boleh dilakukan dengan berjalan, menari atau berlari malah ia turut boleh dilakukan dengan menggunakan tangga atau mendaki bukit.

Pilihlah bukit yang tidak terlalu mencabar dan lakukannya secara perlahan, jika tidak boleh juga bersenam dengan cara naik dan turun tangga di pejabat mahupun rumah.

Berkongsi langkah demi langkah melakukan senaman untuk kesihatan jantung, jurulatih kecergasan bertauliah Nurina Mohamad berkata, senaman seperti mendaki adalah jenis senaman terbaik bukan saja untuk jantung malah seluruh anggota tubuh.

Menurutnya, walaupun ramai yang malas mendaki dan menaiki tangga, perlu diketahui ia adalah langkah terbaik mendapatkan kesihatan jantung.

“Sikap masyarakat kini yang lebih gemar menaiki lif untuk mengelak tangga sangat tidak sihat, namun diingatkan kepada individu yang baru ingin mencuba, paling utama perlu berhati-hati dan menitikberatkan soal keselamatan diri.

“Senaman jenis ini amat baik untuk dijadikan senaman rutin dan boleh dilakukan dalam tempoh 15 minit dua atau tiga kali seminggu. Ia bagus untuk memperbaiki tahap kesihatan jantung dan pada masa sama mampu membantu anda menurunkan berat badan serta menguatkan anggota otot kaki,” katanya.

Nurina berkata, diingatkan senaman jenis ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dan perlu mengikut kiraan masa yang betul.

“Setiap kali memulakan pendakian, perlu berhati-hati supaya tidak terjatuh, tidak dinafikan untuk percubaan kali pertama kebiasaannya akan berasa kekok dan kaki akan berasa sakit namun dengan latihan konsisten semuanya dapat diatasi.

“Bagi individu yang sudah mempunyai masalah jantung dinasihatkan supaya melakukan senaman ini secara perlahan-lahan terlebih dulu,” ujarnya.

Katanya, dapatkan nasihat jurulatih kecergasan bertauliah untuk mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan tidak diingini.

Nurina berkongsi langkah demi langkah melakukan senaman untuk kesihatan jantung.

Langkah-langkah senaman:

1). DAKI bukit atau tangga secara perlahan-lahan.

2). TAMBAHKAN sedikit kelajuan pendakian.

3). BOLEH cuba merendahkan sedikit badan sambil mengangkat sebelah kaki.

4). JIKA mampu, lakukan squad dan bertahan dalam kiraan tiga namun jika tidak mampu boleh saja mencangkuk dan terus bangun tanpa perlu bertahan.

5). APABILA turun, mulakan dengan perlahan-lahan.

6). TIBA di separuh jalan, boleh turun dengan lebih laju.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:10 AM