ABDUL Hakim dan isteri, Dildar (kanan) bersama anak mereka melihat baju baru bagi persiapan menyambut hari raya.
ABDUL Hakim dan isteri, Dildar (kanan) bersama anak mereka melihat baju baru bagi persiapan menyambut hari raya.
Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

Klang: “Walaupun lebaran tahun ini berjauhan dengan ibu bapa, namun saya bersyukur kerana beraya dalam keadaan aman tanpa perasaan takut kepada puak pelampau,” kata warga Rohingya, Dildar Begam Abdul Jabar, 34, yang pertama kali beraya di Malaysia.

Ibu kepada enam anak itu baru tiba ke negara ini enam bulan lalu untuk bersama suami, Abdul Hakim Duduniyah, 44, bagi meraikan lebaran bersama.

Menurutnya, tahun ini walaupun pertama kali terpaksa berpisah dengan ibu bapanya, namun dia reda dan menganggap itu ujian untuk diri dan keluarganya.

“Saya masih ingat ketika sambutan hari raya di Arakan, rumah kami didatangi ‘tetamu’ yang sengaja membuat provokasi daripada puak pelampau yang mengugut untuk membakar rumah.

“Ketika itu orang Islam teruk dizalimi puak pelampau yang sengaja membuat huru-hara ketika umat Islam sibuk meraikan Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, tahun ini dia dan suami hanya menyediakan persiapan ala kadar untuk tiga anak gadisnya iaitu sepasang baju kurung setiap seorang.

“Malah, juadah tradisi masyarakat Rohingya iaitu Ludifirah iaitu campuran tepung beras dan air (seperti capati) dicicah dengan kari daging tetap menjadi keutamaan kami.

“Saya akan sedaya upaya menyediakan hidangan sama seperti di Arakan, biarlah ia menjadi kenangan terindah kami beraya di negara ini walaupun serba kekurangan,” katanya.

Dildar Begam berkata, walaupun beraya ala kadar, tetapi dengan hampir 500 keluarga Rohingya di Meru, lebaran pastinya lebih meriah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:05 AM