MENEPATI kehendak wanita era kini.
MENEPATI kehendak wanita era kini.
Siti Nadirah Hafidzin

TIDAK salah sebenarnya untuk tampil cantik namun ia perlulah selari dengan tuntutan syariat terutama apabila menyentuh mengenai aurat.

Seiring peredaran masa, Muslimah masa kini dilihat semakin bijak dalam berfesyen, tidak hanya tertumpu dengan menyarung tudung ringkas semata-mata, semakin ramai yang bijak mengatur gaya harian supaya tampil lebih anggun.

Menyentuh mengenai tudung, masing-masing mempunyai cita rasa tersendiri, ada yang selesa menyarung selendang dengan pelbagai gaya, tidak terkecuali ada juga wanita yang sukakan tudung segera yang sangat mudah dan pantas.

Walaupun semakin menghampiri era 2020, masih ramai Muslimah yang dilihat memilih menggayakan tudung bawal yang dikatakan antara jenis tudung yang tidak lapuk dek zaman.

Ia juga dikatakan antara jenis tudung yang membuatkan si pemakainya tampak lebih ‘muda’ daripada usia sebenar dan manis dipandang.

Mungkin atas faktor itu juga, ramai Muslimah dilihat yakin bergaya dengan tudung bawal mengikut cita rasa sendiri, sama ada gadis belasan tahun, penuntut di institusi pengajian tinggi, golongan ibu atau wanita berkerjaya kerana selain cantik ia juga mudah digayakan tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap.

Terbaru, dalam memberi pilihan kepada penggemar tudung bawal dalam berfesyen, jenama Syaza Aleena tampil dengan koleksi tudung bawal terbarunya, Camilla yang didatangkan dalam 11 rona pastel.

Pengasasnya Nur Azlini Nawi berkata, koleksi terbaru itu adalah jenis tudung bawal kosong yang dihasilkan daripada fabrik kapas istimewa bersama batu swarovski berkilau.

“Lebih menarik, tudung bawal ini didatangkan dalam pilihan rona pastel yang cantik dan lembut, tidak perlu digosok, mudah dibentuk terutama pada bahagian wajah dan menggunakan material yang tidak panas.

“Menyentuh mengenai fabrik, kami memilih material jenis kapas premium voile Itali yang selesa dan mudah dibentuk. Koleksi ini juga didatangkan dalam saiz bidang 45 yang mana panjang tudung boleh diubah mengikut keselesaan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, koleksi ini dijual pada harga RM58 sehelai bersama kotak eksklusif.

“Tudung bawal ini juga sesuai digayakan untuk gaya harian sama ada ke pejabat atau ketika bersantai di hujung minggu. Ia juga boleh dipakai walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu kini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 5:00 AM