RAMAI sakit belakang bekerja dari rumah.
RAMAI sakit belakang bekerja dari rumah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SELAMA setahun, kakitangan swasta, Lisa Ahmad, 35, bekerja dari rumah dan duduk di kerusi plastik biasa serta meja lipat untuk melakukan tugasan pejabat.

Namun, lama-kelamaan dia mengalami kesakitan di bahagian belakang badan, leher dan lenguh badan.

Katanya, pada mulanya dia hanya mengambil pendekatan berbaring di lantai selama beberapa minit bagi melegakan kesakitan sebelum kembali meneruskan tugasan apabila kesakitan belakang badan berkurangan.

"Saya turut menampal ubat tampal (koyok) atau menyapu minyak angin, jika kesakitan pada leher dan belakang badan mengganggu tumpuan bekerja.

"Masalah yang saya alami ini berulang-ulang dan ada kalanya membuatkan berasa tertekan terutama apabila kesakitan menyerang sehingga berhari-hari," katanya.

Menurutnya, rakan sekerja mencadangkannya supaya menukar kepada kerusi ergonomik.

"Selepas menggunakan kerusi ini, saya dapat berasakan perubahan yang mana masalah sakit belakang badan dan leher semakin berkurangan, malah jarang menyerang.

"Keselesaan menggunakan kerusi ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti kerja," katanya.

Pakar Perunding Ortopedik, Hospital Pakar KPJ Klang Dr Abdul Yazid Mohd Kassim berkata, sakit belakang badan dan leher adalah masalah biasa yang dialami rakyat Malaysia.

Dr Abdul Yazid berkata, namun bilangan pesakit yang menghidap masalah ini semakin meningkat sejak pelaksanaan kawalan pergerakan (PKP) kerana ramai yang bekerja dari rumah.

"Dianggarkan 10 hingga 15 peratus peningkatan pesakit yang saya temui mengadu berdepan masalah sakit belakang, leher dan lenguh badan.

"Berbeza sebelum PKP, rata-rata pesakit ditemui mengalami masalah sama, tetapi puncanya kerana kecederaan akibat bersukan atau berkaitan kerja.

"Senario ini agak mengejutkan kerana sebahagian besar pesakit berusia 30-an hingga 40-an. Mereka ialah golongan yang aktif bekerja di rumah," katanya.

RAWATAN RFA kepada pesakit.
RAWATAN RFA kepada pesakit.

Menurut Dr Abdul Yazid, mereka juga mengadu duduk di kerusi dalam posisi statik agak lama antara empat hingga lima jam, menghadap komputer atau komputer riba sepanjang bekerja dari rumah.

"Ada kalanya tempoh bekerja dari rumah menjadi lebih panjang kerana menghadiri mesyuarat pada waktu malam.

"Ditambah pula kedudukan postur badan tidak betul dan kerusi kurang sesuai, sepanjang tempoh berkenaan berbanding penggunaan kerusi di pejabat yang lebih selesa.

"Ini antara kekangan dihadapi pekerja yang bekerja dari rumah kerana tidak mempunyai kemudahan lengkap seperti kerusi dan meja bersesuaian," katanya.

Dr Abdul Yazid berkata, meskipun bekerja dari rumah, mereka perlu menyediakan tempat kerja yang sempurna untuk membangkitkan mood dan meningkatkan produktiviti kerja.

"Perkara yang perlu dititikberatkan ialah pemilihan kerusi bercirikan ergonomik sepanjang bekerja dari rumah.

"Tidak sukar untuk mendapatkan kerusi ini kerana banyak dijual dalam talian dan harganya mampu milik," katanya.

Jelasnya, antara manfaat menggunakan kerusi ergonomik ialah menyokong postur tubuh, bekerja lebih selesa, mengurangkan risiko masalah leher dan sakit belakang, mengurangkan tekanan pada pinggul serta menjadikan mudah bekerja untuk masa yang lebih lama.

Katanya lagi, mungkin ada segelintir pekerja enggan menggunakan kerusi ergonomik dan tindakan ini boleh mengundang risiko sakit belakang badan berterusan dalam jangka panjang.

PESAKIT menjalani prosedur RFA.
PESAKIT menjalani prosedur RFA.

"Ada kalanya ia boleh menyebabkan masalah gelincir cakera ringan yang menyebabkan tekanan kepada saraf, seterusnya membuatkan kaki menjadi kebas dan lenguh.

"Masalah lain ialah pesakit boleh mengalami sindrom 'terowong carpal' iaitu penyakit membabitkan saraf median yang melalui terowong carpal pada pergelangan tangan atau 'De Quarvain' (tendinitis di pergelangan tangan)," katanya.

Dr Abdul Yazid berkata, sindrom ini berlaku kerana banyak melakukan kerja berulang menggunakan tangan seperti menaip di komputer dan komputer riba.

DR ABDUL YAZID
DR ABDUL YAZID

"Gejala sindrom ini seperti rasa mencucuk terkena renjatan elektrik pada tapak tangan, sakit tangan pada waktu malam dan kebas pada tapak tangan," katanya.

Dr Abdul Yazid berkata, walaupun sudah menggunakan kerusi bersesuaian ergonomik, namun pekerja perlu memastikan bangun daripada kerusi setiap 45 minit atau satu jam dan berjalan selama dua hingga lima minit untuk merehatkan otot.

Seterusnya boleh meneruskan tugasan pada kedudukan sama.

Katanya lagi, antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan masalah sakit belakang ialah melaraskan ketinggian skrin komputer dan komputer riba selari dengan aras anak mata pada kedudukan leher lurus ke hadapan.

"Kedudukan bahu dalam rehat, posisi belakang badan disokong sepenuhnya oleh penyokong tempat duduk pada kedudukan 90 hingga 110 darjah ke belakang.

BERDIRI dan berjalan seketika bagi merehatkan otot.
BERDIRI dan berjalan seketika bagi merehatkan otot.

"Postur pergelangan tangan dan jari berada pada posisi lurus ke hadapan tanpa sebarang tekanan atau membengkok," katanya.

Ditanya mengenai rawatan sakit belakang badan, Dr Abdul Yazid berkata, terlebih dahulu pesakit dibawa untuk menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

"Tujuan pemeriksaan ini untuk mengenal pasti kemungkinan ada kerosakan saraf atau akar saraf tersepit.

"Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan pesakit yang menjalani pemeriksaan ini mempunyai masalah gelincir cakera ringan," katanya.

Dr Abdul Yazid berkata, kebiasaannya rawatan diberikan kepada pesakit ialah ubat tahan sakit, fisioterapi dan radiofrekuensi ablasi (RFA) iaitu kaedah penggangguan isyarat sakit selamat serta terbukti keberkesanannya termasuk isyarat sakit berpunca daripada sendi faset tulang belakang yang terangsang.

"Mesin radiofrekuensi menghasilkan haba untuk memanaskan sebahagian tisu saraf, seterusnya menyekat isyarat sakit dari kawasan berkenaan.

"Saya menggunakan rawatan RFA ini untuk mengurangkan kesakitan tulang belakang, kejang, kebas dan kesakitan kaki kerana cakera gelincir yang menekan saraf," katanya.

Jelasnya, data klinikal menunjukkan bahawa rawatan RFA dapat melegakan kesakitan dengan efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 7:00 AM