NOOR Zairosza menggadaikan kereta untuk jadi modal membina jenama dengan pengeluaran serum kecantikan. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
NOOR Zairosza menggadaikan kereta untuk jadi modal membina jenama dengan pengeluaran serum kecantikan. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Yusliza Yakimir Abd Talib

KETIKA belia seawal usia 20-an lain baru bertatih mencari ruang menempatkan diri dalam dunia pekerjaan, Noor Zairosza Jaihan bersama pasangannya, Muhamad Saiful sudah berada pada tahap agak selesa dengan mempunyai perniagaan sendiri.

Pada usia itu, mereka sudah pun didedahkan dengan dunia perniagaan yang penuh pancaroba tapi disebabkan minat mendalam, segalanya ditempuhi dengan cekal dan berani.

Meskipun hanya berniaga di gerai jualan kecil di sebuah pusat beli-belah di Melaka, dia dan Muhamad Saiful puas kerana hasil jualan yang agak memberangsangkan membolehkan mereka mengumpul duit untuk berkahwin ketika itu.

“Di gerai itu, kami jual pakaian dan beg wanita, Alhamdulillah sambutan yang agak baik di situ. Ketika itu kami berdua masih belum berkahwin tapi mengusahakan perniagaan itu bersama.

“Kami masing-masing berusia 21 dan 22 tahun ketika itu, boleh dikatakan pendapatan kami agak lumayan. Oleh kerana kami bukan jenis yang boros, sebahagian keuntungan kami simpan dan sebahagian lagi kami ketepikan untuk belanja kahwin,” katanya.

Semuanya berlalu dengan baik hinggalah pasangan ini mendirikan rumah tangga beberapa tahun selepas itu, mereka diuji dengan dugaan yang tidak pernah dijangka.

Gerai jualan mereka terpaksa ditutup atas arahan pengurusan pusat beli-belah dan akibatnya, mereka berdua hilang mata pencarian.

Lebih memilukan, Noor Zairosza, 28, ketika itu pula sarat mengandung anak sulung mereka dan arahan penutupan gerai itu seakan-akan batu yang menghempap pasangan ini.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, beberapa hari selepas itu, wanita ini pula ditahan di wad kerana keadaan bayi dalam kandungan yang bermasalah.

Menurutnya, dugaan ketika itu boleh dikatakan terlalu sukar diterima tapi dia bersyukur kerana mereka masih ada pegangan (wang) dan mula bermuhasabah dengan apa yang berlaku.

Katanya, dugaan tidak terhenti di situ. Selepas melahirkan anaknya, mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada duit simpanan yang ada kerana kedua-duanya masih menganggur.

“Duit simpanan makin sikit, apa saja barang berharga yang ada kami jual. Sembilan bulan kami menganggur kerana sukar mendapat kerja hingga akhirnya kereta terpaksa digadaikan.

“Mujur juga kami ini jenis yang menyimpan duit, tapi lama-kelamaan simpanan berkurang juga dengan hanya berbaki RM200. Dalam keadaan terdesak itu, alhamdulillah suami dapat kerja sebagai pengawal keselamatan.

“Memang tidak dinafikan ada juga terdengar cakap-cakap orang yang memedihkan telinga dan hati. Namun bagi kami, asalkan kerja itu halal, itu sudah memadai, biarlah apa orang hendak kata pada kami,” katanya.

Oleh kerana minat berniaga masih menebal dalam diri mereka, kedua-duanya tetap berusaha keras dengan menjual produk pengusaha lain sebagai ejen.

NOOR Zairosza dan Muhamad Saiful bersama dua cahaya mata yang menjadi pembakar semangat.
NOOR Zairosza dan Muhamad Saiful bersama dua cahaya mata yang menjadi pembakar semangat.

Hampir setahun Muhamad Saiful, 29, bekerja sebagai pengawal keselamatan, mereka berdua mula terfikir untuk mengeluarkan produk sendiri yang dinamakan Feelta Beauty.

Hanya berbekalkan modal menggadaikan kereta, mereka menapak membina jenama dengan pengeluaran serum kecantikan. Ketika itu, mereka langsung tiada duit untuk melakukan pemasaran bagi meningkatkan jualan.

Mereka tidak berputus asa, malah berusaha mencari jalan penyelesaian dengan mengikuti kelas pemasaran yang paling murah selain membeli e-buku tentang pemasaran. Pada masa sama mereka giat perkenalkan produk di media sosial sendiri.

“Masih segar dalam ingatan, betapa sukarnya kami mahu bangkit semula tiga tahun lalu. Kami memang pernah hampir putus asa tapi cepat-cepat bangkit semula memikirkan anak dan ibu bapa kami yang perlu ditanggung.

“Prinsip yang kami pegang adalah, kalau kita mengalah, kita takkan dapat apa-apa. Ada hikmah di sebalik gerai jualan ditutup di saat kami di puncak, rupa-rupanya Allah nak beri rezeki lebih meluas untuk kami,” katanya.

Bagi Noor Zairosza, tidak kisah kita bermula dari mana, lambat atau pun cepat kerana apa yang penting adalah kemahuan untuk terus meningkatkan diri.

Sebab itu katanya, ramai ejen dan stokis untuk jenamanya terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan pelajar yang berjaya mengubah nasib diri di atas usaha yang tidak mengenal jemu.

Katanya, cabang perniagaan sekarang ini terlalu meluas dan amat rugi jika tidak dimanfaatkan. Ada telefon bimbit dan capaian Internet, sesiapa saja boleh mula menambah pendapatan.

“Kami sediakan kumpulan sokongan untuk bimbing dan pantau perkembangan ejen dan stokis. Mereka ini kebanyakannya memang tiada pengalaman langsung berniaga, jadi menjadi tanggungjawab kami untuk bantu hingga mereka mampu raih pendapatan.

“Berdasarkan pengalaman sendiri menjual produk usahawan lain tanpa bimbingan memanglah sukar. Sebab itu kami nekad jika ada produk sendiri kami akan pastikan semua ejen dan stokis bekerja di bawah satu kumpulan yang saling membantu dan mendorong untuk sama-sama berjaya.

“Memang lumrah berniaga pastinya mahu keuntungan, tapi melihat stokis dan ejen dapat menambah pendapatan dan mengubah kehidupan mereka adalah kejayaan utama kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:00 AM