AYANGKAMEL bersama model.
AYANGKAMEL bersama model.
Yusliza Yakimir Abd Talib

PERCUTIAN sememangnya dinanti setiap orang terutamanya selepas letih memenuhi tuntutan tugas di pejabat setiap hari. Justeru mengunjungi pulau, pantai dan lautan mungkin antara destinasi kegemaran untuk meredakan tekanan.

Bagaimanapun, kulit terutama bahagian yang terdedah cahaya matahari terik pasti cepat menjadi gelap apatah lagi jika tidak dilindungi dengan krim tabir suria.

Akibatnya, selepas percutian yang menyeronokkan, kita perlu berdepan pula masalah selaran matahari atau kulit berbelang yang memburukkan penampilan diri dan tidak menarik dipandang.

Lebih parah apabila kita perlu hadir ke majlis atau acara penting selepas itu, buntu memikirkan bagaimana mahu menyorok wajah yang sudah keperangan dan lebih gelap daripada warna asal kulit.

Tidak perlu bimbang kerana teknik solekan ‘ciuman matahari’ bukan saja melindungi ‘kekurangan’ wajah kerana selaran matahari malah, mampu membuat penampilan anda lebih menyerlah dengan teknik yang betul.

Menurut jurusolek profesional Ayangkamel, teknik solekan ini sebenarnya cara yang sudah dipraktikkan orang dulu-dulu untuk menutup kulit wajah yang terkena selaran matahari atau ton tidak sekata melalui teknik ‘bronzing’ atau menggangsa.

Katanya, ia bertujuan menyamaratakan warna kulit terutama selepas pulang dari pantai atau terdedah pada cahaya matahari terik hingga wajah kelihatan kusam atau tidak bermaya.

“Solekan ini membuat wajah nampak berkilau dan berseri dengan permainan warna tanah seperti coklat, gangsa dan emas.

“Sebenarnya, ramai yang mempunyai persepsi silap mengenai ‘bronzing’. Ia sebenarnya dicipta untuk meratakan ton kulit yang mengalami selaran matahari atau warna kulit tidak sekata.

“Selalunya orang sering silap dengan menggunakan ‘bronzing’ untuk kontur hinggakan refleks cahaya pada wajah tidak memberi sebarang kesan sebaliknya, wajah akan kelihatan lebih lebar,” katanya.

LANGKAH 1-2
LANGKAH 1-2

1. WAJAH sebelum disolek.

2. RATAKAN bedak asas di seluruh wajah.

LANGKAH 3-4
LANGKAH 3-4

3. SAPU penyerlah pada bahagian yang ingin diserlahkan.

4. TEKNIK kontur di bahagian tulang pipi, dagu, bawah rahang dan sisi hidung.

LANGKAH 5-6
LANGKAH 5-6

5. SAPUKAN primer mata sebelum pembayang mata untuk menaik warna pembayang mata. Warna seperti perang, coklat atau emas sesuai untuk solekan ini.

6. PAKAI maskara dan kemaskan dengan bulu mata palsu.

Bagaimanapun, menurut Ayangkamel solekan ini kurang sesuai untuk majlis makan malam kerana cahaya malap di malam hari membuatkan wajah kelihatan lebih gelap, maka acara siang adalah paling terbaik mengenakan solekan ini.

Katanya, ‘bronzer’ bermaksud meniru matahari, dan ia memberikan definisi dan dimensi pada wajah. Pastikan anda juga tidak memilih warna yang terlalu gelap untuk kulit sebaliknya hanya dua atau tiga warna lebih gelap daripada ton kulit disyorkan.

Tambahnya, perkara paling utama adalah penyediaan kulit sebelum disolek iaitu sapuan primer pada kulit dan mata serta pelembap.

“Solekan dimulakan dengan bedak asas cecair. Untuk teknik kontur pula, bagi menampakkan wajah semula jadi, disarankan gunakan bedak asas ton lebih gelap kerana lebih mudah dipadukan.

“Ini kerana kita tidak mahu nampak jelas kesan kontur yang diaplikasi pada bahagian wajah seperti tulang pipi, hidung atau dagu. Selain itu bagi solekan ini, pemerah pipi tidak diperlukan.

“Selain itu, jika tiada krim ‘bronzing’, boleh juga gunakan ‘bronzing’ jenis serbuk tapi pastikan ia diaplikasi sebelum bedak kering,” katanya.

Beberapa teknik lain turut dikongsi Ayangkamel iaitu solekan pada mata yang perlu dimulakan dengan asas untuk melekatkan pembayang mata.

Caranya, ratakan cecair penutup cela rona cerah di bahagian bawah kening untuk menyempurnakan bentuknya diikuti sapuan krim asas mata sebelum mengoles pembayang warna perak pada kelopak manakala warna sama juga disapu di bawah mata.

Selain itu katanya, untuk mendapatkan bibir yang penuh dan membentuk bibir lebih tepat aplikasi seluruh bibir dengan pensel bibir warna hampir semula jadi dengan bibir anda diikuti pengilat. Ayangkamel berkongsi langkah demi langkah solekan ciuman matahari pada model, Ermisha Qiestina.

LANGKAH terakhir.
LANGKAH terakhir.

7. OLES pensel bibir pada seluruh bibir diikuti pengilat bibir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 4:31 AM