PILIHAN makanan sihat untuk kanak-kanak.
PILIHAN makanan sihat untuk kanak-kanak.
Intan Mas Ayu Shahimi

Setiap bayi mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Namun, seawal usia enam bulan, sistem penghadaman bayi dikatakan sudah mula bersedia untuk menerima makanan tambahan selain susu ibu.

Bagaimanapun, masih ramai ibu yang ragu-ragu untuk mula memberi bayi mereka makanan pejal kerana bimbang terhadap risiko tercekik, sembelit, kembung perut dan sebagainya.

Sebenarnya, ada banyak cara untuk ibu bapa tahu, bila bayi mereka bersedia untuk makanan pejal. Ukuran pertama haruslah dari sudut usia bayi. Pastikan si manja sudah mencapai usia enam bulan, sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan makanan bayi.

Lazimnya, terdapat beberapa ciri yang boleh membantu ibu bapa untuk menilai sama ada bayi mereka benar-benar sudah bersedia untuk makan atau belum. Cuba semak dulu tindak balas dan perlakuan bayi mengikut panduan yang dipetik daripada Babycenter ini;

1. Boleh mengangkat kepalanya dan mengekalkan posisi itu

Adalah penting bagi bayi anda kekal dalam posisi tegak dan stabil jika dia mahu mengambil makanan yang disuap dengan sudu.

2. Duduk dengan baik apabila dipegang

Mula-mula anda mungkin perlu memegangnya. Cuba tegakkan dia di hujung sofa atau sandarkannya di atas seorang dewasa. Kerusi tinggi kanak-kanak boleh digunakan selepas itu, apabila dia sudah pandai duduk sendiri.

3. Melakukan pergerakan mengunyah

Bayi anda mestilah boleh menolak makanan ke bahagian belakang mulutnya dan menelan. Apabila bayi anda sudah pandai menelan dengan cekap, anda akan perhatikan bahawa air liurnya sudah kurang meleleh.

4. Berat badan bertambah secara sihat

Kebanyakan bayi bersedia untuk makan makanan separa pejal apabila berat badannya meningkat sekali ganda berbanding ketika lahir dulu. Ini biasanya berlaku sebelum atau sekitar usianya enam bulan. Jika bayi anda tidak mencapai berat badan yang normal, bincanglah dengan pakar pediatrik.

5. Amat berminat dengan makanan yang anda sedang makan

Bayi mula memerhatikan makanan yang anda sedang makan dan cuba mengambil makanan itu semasa anda mengambilnya dari pinggan untuk masuk ke mulut.

Makanan asas

Melihat dari sudut luas, sememangnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan kaum ibu menyusukan bayi mereka secara eksklusif sehingga mencecah usia enam bulan. Tetapi, selepas tempoh itu, susu badan saja tidak lagi mencukupi untuk bayi. Mereka memerlukan lebih nutrien untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan minda serta tubuh pada masa depan.

Ketika ini, ramai ibu teruja untuk melakukan pelbagai eksperimen di dapur bagi menghasilkan makanan pejal pertama yang berkhasiat buat bayi. Begitupun, perlu diingatkan bahawa ramai pakar menyarankan supaya bayi mula diperkenalkan dengan hidangan paling asas seperti bubur nasi yang dikisar halus untuk menguji kemampuan si manja mencerna makanan pertamanya.

Andai berjalan lancar, tidak ada sebab untuk ibu mengehadkan pengambilan nutrien bayi. Buat satu jadual pemakanan lengkap untuk memantau keperluan si manja dan perkenalkan rasa, warna dan tekstur makanan mengikut tahap tumbesaran mereka.

Lazimnya, apabila bayi sudah dibiasakan dengan makanan pejal dan melepasi umur tujuh bulan, ibu mempunyai lebih banyak pilihan. Makanan berketul dan lembut seperti pisang lecek, keledek yang dimasak lembut, biskut jejari atau pasta boleh dijadikan pilihan.

BISKUT sup tulang ayam untuk bayi.
BISKUT sup tulang ayam untuk bayi.

Namun dalam kebanyakan situasi, memilih biskut tidak semudah mencari kudapan ringkas buat anak yang lebih besar. Perhatikan sama ada biskut yang dipilih mengandungi bahan tambahan yang tidak diperlukan bayi seperti gula, garam, pewarna dan pengawet.

Rush Baby Food memperkenalkan biskut enak yang dihasilkan daripada air rebusan tulang ayam. Pengusaha jenama makanan bayi itu, Norsyzana Kadir berkata, kudapan ringkas berkenaan lebih istimewa kerana dibuat hasil air tangan sendiri, menggunakan bahan terpilih dan berkualiti.

“Pada mulanya biskut ini disediakan untuk kudapan anak sendiri. Tetapi selepas melihatkan reaksi mereka yang cukup suka dengan biskut ini, saya mengambil keputusan untuk berkongsi manfaatnya dengan bayi lain.

“Biskut ini mengandungi sup tulang ayam yang dipercayai dapat membantu meningkatkan sistem imun dan menguatkan antibodi tubuh bayi. Kebanyakan ibu moden kini tidak berkesempatan menyediakan hidangan sup tulang ayam setiap hari kerana memerlukan masa yang panjang jika dimasak di atas dapur.

“Jadi, dengan adanya biskut ini, ibu boleh membekalkan khasiat serupa dalam bentuk biskut pada bayi pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Jelas Norsyzanam selain rasanya yang enak, biskut itu juga memberi manfaat kepada pertumbuhan tulang, gigi dan rambut. Kandungan asid amino pula bertindak baik untuk pencernaan.

“Walaupun mengandungi sup tulang ayam, ibu tidak perlu bimbang akan rasanya kerana ia menyerupai biskut mentega. Biskut ini juga mengandungi tepung jagung, kurma atau kismis dan aprikot. Ia bebas telur, gula, garam dan pengawet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:05 PM