ELAKKAN memberi bayi sayur-sayuran yang tidak dimasak atau bertekstur keras seperti lobak merah.
ELAKKAN memberi bayi sayur-sayuran yang tidak dimasak atau bertekstur keras seperti lobak merah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


IBU bapa pasti teruja apabila si kecil kesayangan yang sudah mencapai umur enam bulan mula menunjukkan tanda-tanda untuk makan.

Selain menyediakan resipi dan pelbagai barangan kelengkapan lain, si ibu juga pasti sibuk mencari info makanan sesuai untuk si kecil.

Ini kerana memperkenalkan makanan pejal adalah langkah penting dalam transisi tumbesaran kanak-kanak.

Namun, di sebalik semua keterujaan itu, ibu bapa perlu berwaspada kerana ada beberapa jenis makanan yang tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah usia setahun.

Ada makanan yang boleh menyebabkan mereka tercekik, mengalam

i alahan dan menjejaskan sistem pencernaan.

Antaranya, madu tidak kira apa jenis sekali pun, ia tidak boleh diberi kepada bayi di bawah usia setahun ke bawah.

Ini kerana mungkin madu itu mengandungi spora Clostridium botulinum yang boleh menjejaskan usus bayi.

Ia tidak boleh bercambah dalam usus orang dewasa, tetapi boleh berkembang dalam usus bayi yang tidak matang.

Elakkan juga daripada memberi buah-buahan sitrus kerana ia memiliki kandungan asid yang boleh mengganggu sistem gastro usus dan sistem penghadaman si kecil.

Ia boleh menyebabkan bayi mengalami sakit perut dan ketidakselesaan kerana sistem penghadamannya belum matang.

Selain itu, elakkan daripada memberi bayi sayur-sayuran atau buah-buahan yang tidak dimasak atau bertekstur keras seperti lobak merah, kacang panjang dan buah tin.

Walaupun mempunyai banyak nutrisi dan vitamin, namun ia berisiko menyebabkan bayi di bawah usia setahun tercekik. Sebaiknya campurkan ia dalam masakan.

Si manja di bawah usia setahun juga tidak boleh diberikan susu segar dan susu penuh krim sebagai pengganti susu ibu atau susu formula.

Ini kerana komponen dan nutrien dalam susu lembu sukar dihadam usus bayi selain tidak cukup untuk pertumbuhan serta tumbesarannya.

Elakkan juga memberi bayi makan kacang tanah, strawberi atau makanan laut kumpulan kerang-kerangan kerana ia boleh menyebabkan berlaku alahan teruk.

Rujuk pakar terlebih dahulu sebelum memberi bayi anda makanan yang mengandungi alergen tinggi.

Sementara itu, dalam apa juga makanan, jangan sesekali menambah kandungan bahan perisa tambahan termasuk garam dan gula.

Memang ia penting untuk menambah kelazatan makanan, namun ia tidak bagus untuk kesihatannya.

Sebaiknya gunakan perisa tambahan semula jadi seperti bawang, ikan bilis dan saleri.

Makanan ringan seperti biskut masin, biskut manis, 'hot dog' dan makanan segera juga perlu dielakkan diberi kepada bayi berusia bawah setahun.

Apa pun, proses memperkenalkan makanan pejal kepada si kecil sebenarnya menyeronokkan, namun ibu bapa perlu berwaspada dan awasi sebarang tanda penolakan atau alahan daripada bayi anda.

Jangan terlalu teruja dan amalkan panduan pemakanan seperti disarankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 6:44 AM