BISKUT berperisa coklat sesuai diambil sesiapa sahaja termasuk wanita hamil dan ibu menyusu.
BISKUT berperisa coklat sesuai diambil sesiapa sahaja termasuk wanita hamil dan ibu menyusu.
Siti Zarinah Sahib

Bagi ibu yang menyusukan anak, tanggapan susu kering dan menyusut ketika Ramadan sebenarnya kurang tepat. Ini ditambah keyakinan ibu mengenai pengeluaran susu ibu yang semakin berkurang menyebabkan minda mereka tertekan, seterusnya menyebabkan penghasilan susu menjadi sedikit. Ada pula tidak sanggup berpuasa lantaran memikirkan bayi yang masih kecil.

“Sebenarnya susu dihasilkan menerusi sejenis hormon dikenali sebagai oksitosin atau hormon gembira. Bagi menghasilkan hormon gembira ini, ibu perlu berusaha mendapatkannya dengan mengunyah makanan yang boleh menggalakkan penghasilan susu ibu, menghirup teh halia panas, makan banyak kurma atau minum susu sambil melihat wajah comel si kecil. Ini semua akan mempengaruhi pengaliran susu ibu,” demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nedya, Lydia Jominin ketika ditemui di Cheesylogy Baking Studio, Shah Alam, baru-baru ini.

Menghadapi masalah penyusuan ketika melahirkan anak pertama, Ayden, menjadi pengalaman berharga untuk Lydia mencari pelbagai maklumat berguna untuk memperbanyakkan susu badan.

Ketika itu dia berazam menyusukan Ayden sepenuhnya sehingga berusia dua tahun. Malangnya sebaik mula bekerja, pengeluaran susu mulai berkurangan sedangkan Ayden sangat kuat menyusu.

“Ada kala saya rasa tertekan kerana permintaan melebihi penawaran. Saya mula tercari-cari info sesuai mengenai penyusuan. Ketika itu saya terbaca mengenai produk penggalak susu dalam bentuk biskut, minuman dan tablet. Saya mencuba satu persatu, malangnya semuanya tidak ‘kena’ tekak menyebabkan produk ini tidak berjaya dihabiskan. Mujur juga saya bekerja sendiri, jadi saya dapat mencari masa menyusukan Ayden di rumah,” katanya.

LYDIA mempunyai pengalaman kurang susu badan selepas melahirkan anak pertama.
LYDIA mempunyai pengalaman kurang susu badan selepas melahirkan anak pertama.

Memahami situasi wanita berkerjaya yang mempunyai keinginan menyusukan bayi mereka selama dua tahun mendorong Lydia menghasilkan kudapan berkhasiat ibu menyusu yang berfungsi memberikan rasa gembira kepada ibu, lantas menghasilkan susu dengan banyak.

Menerusi pengalaman dan juga pemahaman sebagai ibu, banyak bahan seperti kurma, bijirin, badam dan kekacang digunakan bagi membantu memberikan rasa kenyang serta khasiat memperbanyakkan susu.

“Saya sedar ada wanita tidak konsisten mengambil makanan ini disebabkan terlupa dan tidak sempat menyediakannya. Jadi saya ingin memudahkan wanita dengan mengumpulkan semua bahan penting ini dan diletakkan dalam sekeping biskut enak dan lazat. Mereka hanya perlu mengambilnya dua hingga lima keping biskut sehari untuk mendapatkan manfaatnya,” ujarnya.

Mula menghasilkan tiga perisa berasaskan bahan utama iaitu kranberi, halba dan coklat, jelas Lydia, cabaran utama adalah memastikan penggunaan bahan berkualiti bagi mendapatkan keberkesanannya.

Untuk itu sebelum produk dilancarkan, dia terlebih dahulu mencuba untuk mengetahui sama ada setiap biskut bukan saja berperanan menambah susu badan tetapi sedap dijadikan kudapan ibu hamil.

“Biskut Nedya menggunakan bahan premium berkualiti tinggi, tanpa telur, pengawet dan pewarna tiruan, tepung tanpa peluntur dan mentega asli. Ini bagi memastikan ia sesuai diamalkan ibu hamil yang khuatir kudapan mereka mengandungi garam, gula dan juga perisa tambahan. Saya mengambil masa hampir enam bulan bagi memastikan bahan digunakan benar-benar sesuai. Sehingga kali kelapan barulah biskut ini berada di pasaran,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai bahan utama dalam biskut ini, jelas Lydia, bijiran oat dipilih kerana kaya zat besi dan disarankan untuk ibu yang mengalami anemia atau hemoglobin rendah. Selain itu, ia juga boleh menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Halba pula boleh meninggikan paras prolaktin dalam aliran dalam darah. Sebab itu ibu yang minum air rendaman halba akan mendapati payudara mereka cepat penuh dan mudah dipam.

“Namun apabila dimakan, ia tidaklah terlalu berbau halba sebaliknya gabungan mentega, kekacang dan badam menjadikan ia rangup dan sedap dimakan pada bila-bila masa saja. Malah ia turut digemari sesiapa saja kerana khasiatnya,” katanya.

BAHAN terpilih untuk menghasilkan kudapan berkhasiat ibu menyusu.
BAHAN terpilih untuk menghasilkan kudapan berkhasiat ibu menyusu.

Susukan bayi dan pam secara konsisten

Jelas Lydia, untuk penghasilan susu ibu, sebenarnya tidak sepenuhnya bergantung kepada makanan tambahan. Sekiranya ibu mengambil makanan tambahan tetapi tidak melakukan penyusuan terus secara konsisten dan mengepam susu setiap dua atau tiga jam, sudah pasti impian mereka menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan dan mencapai usia dua tahun sukar dicapai.

“Kami berpegang kepada falsafah penyusuan secara berterusan selama dua tahun terutama untuk ibu bekerja kerana cabarannya sangat hebat. Jadi selain menyediakan makanan berkhasiat penggalak susu, kami juga menasihati wanita agar mengelakkan daripada tertekan kerana ia menjadi halangan utama dalam menghasilkan susu ibu.

“Namun biasanya ibu tertekan akibat berada dalam kesesakan jalan raya, kerja yang banyak dan tidak menentu, sekali gus menyebabkan hormon oksitoksin tidak dapat dirembeskan. Ini akan membantutkan proses penghasilan susu. Sebab itu penghasilan susu badan setiap wanita berbeza kerana dipengaruhi pelbagai faktor,” jelasnya.

Justeru, nasihat Lydia, ibu perlu gembira setiap kali menyusukan bayi. Pandanglah wajah si comel dengan penuh kasih sayang, ubah pemikiran untuk tidak terlalu memikirkan mengenai tekanan kerja dan makan makanan yang mampu memberikan rasa gembira misalnya biskut yang sedap yang boleh menghasilkan susu dengan banyak.

Pastikan juga ibu mengambil makanan berkhasiat ketika berbuka dan bersahur, makan kurma dan juga minum air kosong dua liter sehari. Bagi ibu hamil, kudapan berkhasiat ini boleh dimakan setiap masa kerana ia tidak menyebabkan paras gula semakin tinggi atau kandungan lemak yang banyak.

“Mereka yang gemar makan keropok berperisa dan masin, boleh menukar kepada biskut berkhasiat ini kerana mereka tidak perlu khuatir mengenai kandungan bahan utama kerana ia menggunakan semua bahan berkualiti,” katanya memberitahu biskut berkenaan boleh dibeli di 40 kedai terpilih di Lembah Klang dan Selangor.

LYDIA (kiri) bersama kakitangan menyediakan biskut penggalak susu ibu.
LYDIA (kiri) bersama kakitangan menyediakan biskut penggalak susu ibu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 1:36 PM