BUFFON bersara daripada pentas antarabangsa. FOTO/AFP
BUFFON bersara daripada pentas antarabangsa. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Penjaga gol legenda Itali, Gianluigi Buffon sah akan menamatkan karier di pentas antarabangsa selepas skuad juara empat kali itu gagal mara ke Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

Buffon, 39, beraksi buat kali ke-175 dan kali terakhir ketika Itali tumbang 0-1 secara agregat, dalam penentuan playoff kepada Sweden selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di San Siro, pagi tadi.

Keputusan itu menamatkan karier Buffon sepanjang 20 tahun terbabit di pentas antarabangsa termasuk ketika Itali menjulang Piala Dunia pada 2006.

“Saya minta maaf, bukan saja untuk diri sendiri tetapi untuk seluruh bola sepak Itali,” kata Buffon kepada penyampai televisyen Itali, Rai.

PEMAIN Itali, Leonardo Bonucci (bawah) mengekang pemain Sweden.   FOTO/AFP
PEMAIN Itali, Leonardo Bonucci (bawah) mengekang pemain Sweden. FOTO/AFP

“Kami gagal mencapai sesuatu yang cukup besar, yang cukup memberi makna. Cukup kesal kerana terpaksa menamatkan perjuangan dengan cara begini, bukan kerana masa lampau,”

Buffon tampil kali pertama untuk skuad Azzurri ketika berusia 19 tahun pada Piala Dunia 1988 ketika saingan playoff berdepan Russia, tetapi aksi terakhirnya juga menyaksikan dia gagal mencapai rekod pemain pertama beraksi di enam edisi Piala Dunia.

Kapten Juventus ini yang menegaskan dia akan bersara selepas akhir musim ini berkata, penyokong Itali perlu terus melihat masa depan dan ketika ini, penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma dilihat sudah bersedia menyarung jersi nombor satu.

“Sentiasa ada masa depan untuk bola sepak Itali, yang menjadi kebanggaan kami, dan selepas keputusan yang teruk, kami sentiasa mencari jalan untuk bangkit,” katanya.

“Saya meninggalkan skuad ini yang penuh dengan bakat, termasuk Gigio Donnarumma dan (penjaga gol Genoa) Mattia Perin,”

PEMAIN tengah Marco Parolo (kanan) menanduk bola sambil dihalang pemain Sweden.  FOTO/AFP
PEMAIN tengah Marco Parolo (kanan) menanduk bola sambil dihalang pemain Sweden. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:39 AM