JADI pengguna bijak dengan membaca label pada produk makanan.
JADI pengguna bijak dengan membaca label pada produk makanan.
HASIL tani organik bebas bahan kimia dan racun serangga berbahaya.
HASIL tani organik bebas bahan kimia dan racun serangga berbahaya.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Keinginan seorang teman yang beberapa kali mencadangkan kami mencuba hidangan organik akhirnya dipenuhi. Semuanya berasaskan tumbuh-tumbuhan. Rasanya agak unik, tetapi belum mampu mencuri selera kami. Memang ia pengalaman baru bagi kami yang lebih selesa menikmati nasi campur dengan pelbagai pilihan lauk-pauk dan beraneka jenis sambal.

Untuk lebih sihat, teman ini mula beralih kepada sayur-sayuran organik walaupun harganya lebih mahal. Namun timbul pula persoalan, bagaimanakah kita mahu memastikan produk yang dibeli itu benar-benar organik dan bebas bahan kimia? Benarkah produk organik contohnya sayur-sayuran dan buah-buahan itu lebih menyihatkan?

Apa bezanya hasil organik dengan hasil yang dilabel dengan perkataan ‘semula jadi’ atau alami? Rupanya masih banyak yang kita tidak tahu. Apa pula maknanya produk pertanian menyihatkan? Adakah ia sekadar istilah bagi menarik perhatian dan melariskan jualan?

Menurut Pengarah Eksekutif ITS Nutriscience Sdn Bhd Pang Yee Chiang, produk organik adalah hasil daripada perladangan terkawal yang 100 peratus tidak menggunakan racun serangga dan baja buatan manusia berasaskan bahan kimia serta tiada unsur pengubahsuaian genetik (GMO).

Produk semula jadi pula merujuk kepada hasil pertanian yang diproses secara minimum, tidak mengandungi sebarang pewarna, perasa dan pengawet sintetik. Produk pertanian GMO juga boleh dikategorikan sebagai hasil semula jadi manakala hasil pertanian menyihatkan pula sangat luas maknanya, iaitu produk yang boleh dimasukkan dalam amalan diet sihat. Ada empat kategori produk yang boleh dimasukkan di dalam hasil pertanian menyihatkan iaitu produk organik, semula jadi, vegan dan makanan tambahan (suplemen).

Bagaimanapun, di negara kita belum ada garis panduan untuk produk organik dan kini pengeluar menggunapakai standard yang ditetapkan oleh Jabatan Agrikultur Amerika Syarikat (USDA).

PERHATIKAN EMPAT PERKARA

Jadi, bagaimana hendak memastikan satu-satu produk itu benar-benar organik?

Kata Pang, caranya mudah iaitu dengan membaca label. Memang ada banyak pihak yang mendakwa mengeluarkan hasil organik tetapi ia tidak semestinya 100 peratus organik. Jika urusan penghasilan (daripada penanaman, pengeluaran, pengangkutan dan penjualan) cukup 70 peratus organik, di bawah standard USDA ia sudah boleh dikategorikan sebagai ‘organik’.

“Tapi kalau mahu mendapat pengiktirafan dan meletakkan logo USDA, perlulah melepasi tahap 95 peratus organik. Jadi sebab itu penting untuk membaca label untuk memastikan produk mencapai tahap seperti yang didakwa supaya wang yang dilaburkan berbaloi. Ini kerana produk organik biasanya 30 peratus lebih mahal berbanding produk biasa.

“Produk organik yang ada di negara kita kebanyakannya diimport dari luar negara. Bukan tidak ada pertanian organik di negara kita, tetapi saiznya masih terlalu kecil kerana kos mengusahakannya tinggi.

“Jadi apabila mahu membeli, kena lihat label. Pastikan beberapa perkara: ada Logo USDA, logo ‘Non-GMO’ dan bahannya 100 peratus organik. Selain itu ia mestilah tidak mengandungi bahan yang bermula dengan huruf E. Huruf E ini menandakan adanya bahan kimia,” katanya.

Memang pada label ada banyak bahan yang kita tidak tahu kerana menggunakan huruf dan nombor tertentu. Malah yang tersenarai pun, banyak yang tidak difahami kerana ia meletakkan nama sebatian kimia.

Jadi untuk memudahkan, lihat senarai bahan dan pastikan tiada bahan yang ditulis menggunakan huruf E dan diikuti dengan nombor tertentu.

Tidak sekadar tumbuh-tumbuhan, produk organik turut merangkumi haiwan. Jika haiwan, ia mestilah tidak diberi makanan yang ada bahan pengawet. Ia juga tidak diberikan hormon tumbesaran dan antibiotik. Sisa bukan antibiotik mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hari untuk disingkirkan daripada badan haiwan. Dalam tempoh seminggu sebelum disembelih, haiwan ternakan tidak boleh diberikan makanan yang mengandungi bahan kimia.

“Kesedaran mengenai produk organik dalam kalangan masyarakat kita masih rendah. Ramai yang sudah tahu tetapi belum faham sepenuhnya. Kini permintaan terhadap produk organik memang ada yang menunjukkan masyarakat mula sedar ia adalah pilihan yang lebih baik demi kesihatan.

“Dari segi khasiat, ia tidak berbeza dengan hasil yang diusahakan secara biasa baik menggunakan kaedah moden atau konvensional, cuma produk organik bebas daripada sebarang bahan kimia.

“Ada pengguna mendakwa rasa produk organik lebih sedap, bagaimanapun soal rasa ini agak subjektif kerana ia bergantung kepada cita rasa setiap orang. Namun apa yang pasti, jika satu-satu produk itu mengandungi sisa kimia, ia akan memberikan ‘tinggalan rasa’ dalam mulut seperti rasa pahit atau kelat selepas kita menikmatinya,” katanya.

BENARKAH LEBIH SIHAT?

Ramai orang menganggap makanan organik lebih menyihatkan. Anggapan ini kurang tepat kerana semuanya bergantung kepada corak atau tabiat pemakanan seseorang. Bukan semua produk organik atau semula jadi itu menyihatkan. Contohnya garam bukit organik atau gula perang organik, jika diambil berlebihan tetap akan memberi kemudaratan kepada kesihatan.

Pang berkata, dalam dunia ini tiada makanan yang boleh dikategorikan sebagai ‘baik’ atau ‘tidak baik’. Apa yang ada hanyalah tabiat pemakanan yang baik atau buruk. Jadi, semuanya kembali kepada kesedaran kita sendiri untuk mengamalkan gaya pemakanan yang memberi manfaat kepada kesihatan.

Namun jika mampu, apa salahnya mengambil produk organik yang bebas bahan kimia terutama racun serangga dan bahan pengawet yang digunakan untuk memastikan hasil tanaman bertahan lebih lama di pasaran.

Bagaimanapun, jika keadaan kewangan agak terhad, boleh saja membeli hasil yang menggunakan kaedah pertanian biasa. Cuma, pastikan produk segar dicuci bersih sebelum dimasak. Cuci buah-buahan dan kupas kulitnya sebelum dimakan. Walaupun ada yang mendakwa cara ini akan menghilangkan zat yang ada pada kulit, tapi kehilangan ini adalah minimum.

Kini sudah sampai masa untuk kita menjadi pengguna yang bijak dan berilmu. Caranya mudah, iaitu dengan membaca label pada bungkusan produk. Memang sukar untuk kita memahami barisan nama bahan tercatat, tetapi carilah produk yang tiada bahan dengan awalan huruf E (diikuti dengan nombor tertentu). Kalau boleh, cari juga produk yang ditulis ‘clean-labour’ yang bermaksud ia menggunakan bahan awet semula jadi seperti rempah dan herba.

Bagi menambah pengetahuan, kunjungi Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia ke-19 pada 27 hingga 29 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) anjuran Sphere Exhibits Malaysia yang disertai pengusaha dari lebih 30 negara.

Menurut Pengerusi Projek Sphere Exhibits Malaysia Chua wee Phong, selain makanan dan minuman, pihaknya juga memperkenalkan segmen makanan halal yang boleh membantu menjadikan negara ini sebagai hab halal antarabangsa.

Segmen ini diperkenalkan khas untuk pengeluar, pedagang dan peneraju perniagaan produk makanan halal mencari produk baru dalam mengembangkan perusahaan mereka.

Katanya, dengan pertambahan pengguna yang memahami manfaat produk semula jadi dan sihat, ia secara tidak langsung meningkatkan jumlah pengguna makanan asli dan organik secara ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, di sini pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai teknologi makanan dan minuman, hasil perikanan dan pertanian serta mendalamkan ilmu khususnya berkaitan produk organik, semula jadi dan menyihatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 12:43 PM