MENGUPAS bawang untuk memasak juadah berbuka puasa.
MENGUPAS bawang untuk memasak juadah berbuka puasa.
Siti Zarinah Sahib


Sebaik sampai ke Pusat Jagaan Titian OKU Nur yang terletak di Rawang, kami disambut mesra sekumpulan penghuni yang menghulurkan tangan mahu bersalaman. Walaupun ada butir bicara yang kurang difahami, kebanyakan mereka yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) fizikal dan mental warga emas tetap ramah berbicara.

Salah seorang penghuni yang membahasakan dirinya sebagai Aton leka menunjukkan baju baru yang dipakai kepada penulis, sesekali dia meminta penulis memegang kepala dan bahunya sambil tersenyum gembira. Seorang lagi warga emas dalam usia 70-an bercerita mengenai dirinya yang ditinggalkan anak-anak. Namun selepas penulis mendapatkan penjelasan daripada salah seorang penjaga di situ, rupa=rupanya orang tua itu tidak pernah berkeluarga sebelum ini.

Beginilah suasana mereka setiap hari di sini, ada yang melakukan aktiviti sendiri, ada pula berbual dan merehatkan diri. Kala Ramadan yang baru enam hari disambut, semuanya langsung tidak mengerti mengenai kedatangan bulan mulia ini dan Aidilfitri nanti.

“Rata-rata mereka tidak berpuasa namun saya akan pastikan mereka tidak makan pada waktu tengah hari kecuali warga emas berpenyakit. Apabila tiba waktu berbuka, semua berkumpul bagi menikmati hidangan disediakan, Mereka juga digalakkan bangun sahur sebagai menghormati Ramadan,” kata pengasas dan penyelianya, Normah Adlan.

Menurut Normah, bagi yang dikategorikan sebagai OKU mental, sudah semestinya mereka tidak mengerti mengenai kedatangan Ramadan. Bagi mereka semua hari mendatang sama saja. Namun begitu usah dianggap mereka tiada hati dan perasaan.

“Percayalah mereka juga inginkan belaian dan kasih sayang. Sebab itu apabila ada yang melawat, mereka sedaya upaya bercerita, meminta agar dipeluk dan diberikan perhatian. Mereka seakan-akan kanak-kanak yang suka menangis, ketawa dan merajuk. Sebab itu saya sebagai penyelia sudah faham benar sifat setiap orang. Memang menjaga mereka memerlukan kesabaran tinggi. Tidak boleh marah atau meninggi suara ketika berbual,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Pusat jagaan yang terletak di Kampung Melayu, Batu 16, Rawang, Selangor itu kini menempatkan hampir 60 penghuni terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak berumur antara lapan bulan hingga 97 tahun. Mula mengendalikannya sejak 2009, bagi Normah pengalaman menjaga insan istimewa menjadikannya lali dengan pelbagai ragam.

Bercerita bagaimana boleh membuka Pusat Jagaan Titian OKU Nur, ia bermula sewaktu di Hospital Kuala Lumpur apabila dia melihat seorang wanita warga emas tidak mempunyai waris. Terkesan melihat keadaannya yang daif, Normah menawarkan diri menjaganya di rumah.

“Saya tidak sanggup meletakkannya di tempat lain kerana belum tentu ada yang mahu menjaga. Lama-kelamaan daripada seorang semakin bertambah sehingga pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menghantar penghuni mereka kepada saya. Saya tidak sampai hati melihat mereka terutama orang Melayu hidup merempat tanpa pembelaan. Jika saya tidak membantu siapa lagi,” katanya yang mempunyai enam pembantu terdiri daripada dua lelaki empat perempuan.

Jelas Normah, hampir 80 peratus penghuni pusat jagaan itu tidak mempunyai waris. Ada yang ditinggalkan di hospital dan JKM, kemudian dirujuk ke sini. Ada pula waris yang menghantar, kemudian menghilangkan diri dan langsung tidak menjenguk seolah-olah penghuni itu tidak wujud lagi dalam hidup mereka.

Tambahnya lagi, oleh kerana kebanyakan mereka mempunyai masalah mental, dia mengakui harus berhati-hati dalam setiap perlakuan dan pergerakan. Ini kerana mereka boleh melakukan apa saja termasuk mencederakan penghuni lain. Walaupun kebanyakan mereka sudah melalui proses tapisan iaitu tidak agresif, adakalanya berlaku juga.

“Penghuni yang ada datang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang lumpuh, sindrom Down dan terencat akal. Ada juga warga emas uzur yang menghidap pelbagai penyakit seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi. Sebab itu pelbagai ragam boleh diperhatikan. Ada yang bercakap sendiri, menangis dan ketawa. Itu belum lagi membuang air besar dan kencing merata-rata. Malah ada yang cuba mencederakan diri apabila gagal mengawal tekanan,” katanya.

Untuk itu, Normah sering menasihati pekerja supaya bersabar dan bertoleransi dengan mereka. Selain itu, dia turut berdepan pelbagai cabaran bagi memastikan pusat jagaan itu terus berfungsi seperti biasa. Kekangan kewangan perkara paling penting dan perlu diuruskan. Ini juga termasuk masalah sesetengah pihak dan sikap tidak bertanggungjawab ahli keluarga penghuni yang terpaksa dilaluinya.

“Sebagai contoh setiap hari kami memerlukan RM600 sehari dengan perkiraan RM10 untuk seorang penghuni. Ini bermakna RM16,000 sebulan. Itu belum termasuk perbelanjaan lain seperti sewa tempat, rawatan, ubat-ubatan, lampin pakai buang dan keperluan lain,” ujar Normah yang hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

PERLU LEBIH SUMBANGAN

Jelas Normah, walaupun menjelang Aidilfitri dia menerima pelbagai sumbangan seperti pakaian dan keperluan peribadi namun sumber kewangan sangat diperlukan bagi menampung kos pembelian makanan.

Dia sering terfikir dalam keadaan sekarang apabila sumber kewangan semakin menyusut, rumah jagaan yang hanya bertapak di tanah sewaan, apa yang akan berlaku sekiranya dia sudah tiada nanti. Oleh itu, dia berharap agar dapat mencari tanah wakaf atau tempat bagi membina kediaman bersifat kekal untuk mereka.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkannya ke akaun Pusat Jagaan Titian OKU Nur - CIMB 8000519387.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 8:50 AM