Yusliza Yakimir Abd Talib

Semua orang mengimpikan kulit wajah yang cantik, tidak bermasalah dan cerah berseri. Justeru, penggunaan produk penjagaan wajah menjadi jalan penyelesaian untuk mendapatkan hasil terbaik.

Bagaimanapun, bagi mereka yang bermasalah jerawat, banyak faktor mempengaruhi kulit wajah dan mereka seharusnya tidak memandang ringan masalah yang membelenggu.

Tambahan pula ketika ini negara berdepan cuaca panas dan kering, banyak perkara perlu diambil kira oleh mereka yang bermasalah jerawat atau mempunyai kulit sensitif dalam melakukan aktiviti seharian mereka.

Cahaya ultra ungu (UV) boleh merengsa dan merosakkan kulit bagi sesetengah individu. Ini selalunya berlaku selepas anda terdedah pada cahaya panas terik matahari pada jangka masa yang lama iaitu melebihi sejam.

Jika anda perhatikan jerawat akan mula timbul selepas anda berjemur di bawah matahari seperti bercuti di pantai atau mungkin anda sebahagian daripada individu yang sensitif terhadap cahaya UV.

Rata-rata produk penjagaan kulit untuk jerawat akan menyebabkan kulit lebih sensitif kepada cahaya matahari kerana produk terbabit secara umumnya mengeringkan kulit.

Ini akan menambahkan kesan matahari pada kulit berjerawat yang terdedah pada cahaya matahari, malah cahaya UV juga boleh menembusi ke dalam lapisan kolagen dan memecahkan serat kolagen, sekali gus mempercepatkan proses penuaan.

Bagi yang sering bermasalah dengan kulit berminyak atau jerawat pastinya memburukkan keadaan ketika cuaca panas melampau ini.

Ini kerana musim panas boleh membuatkan kulit lebih berminyak. Apatah lagi ketika berpeluh, wajah terlihat lebih berminyak. Daripada wajah cantik makin berminyak saat cuaca panas, berikut tip yang boleh digunakan untuk mengelakkan masalah kulit.

1. Hindari paparan sinar matahari

Berada di bawah sinar matahari hanya akan membuat anda berpeluh dan mendapat kesan berbahaya dari sinar UV. Selain itu, sinar matahari dapat menyebabkan peningkatan minyak membuatkan kulit kelihatan lebih berminyak.

Dari jam 10 pagi hingga 3 petang, matahari berada di puncak dan memancarkan sinar yang panas. Jadi hindari sinar matahari terutama pada waktu ini. Juga, cuba tutup kepala dan memakai kaca mata hitam. Jangan lupa gunakan losen tabir suria ketika keluar rumah.

2. Pakai asid salisilat

Asid salisilat ialah bahan semula jadi yang aktif bekerja dengan pengelupasan sel kulit mati sehingga kulit tampak lebih segar. Menggunakan bahan ini akan membantu mencegah dan mengubati kulit berminyak, ruam peluh dan jerawat.

Untuk jerawat, asid ini mencegah sel kulit mati menutup folikel rambut sehingga mencegah penyumbatan pori yang dapat menyebabkan jerawat.

3. Jangan kerap cuci muka

Meskipun kita berasa berpeluh selama cuaca panas, tidak elok untuk mandi atau mencuci wajah lebih daripada dua kali sehari. Apabila sering mencuci, kulit akan kehilangan kelembapan, sehingga menghasilkan minyak berlebihan agar kembali lembap. Jadi mencuci muka terlalu kerap akan meningkatkan kadar minyak pada wajah anda.

Bagi anda yang ada masalah kulit sensitif, gunakan pencuci wajah yang lembut. Elakkan rutin penjagaan wajah yang kompleks. Elakkan juga menggunakan sebarang produk penjagaan yang mengandungi alkohol. Setiap kali anda mencuci wajah, keringkan dengan lembut secara menekap muka menggunakan tuala.

4. Ubah rutin anda

Pada musim panas kita cenderung menambah produk tambahan untuk memberikan kembali kelembapan kulit kita seperti serum. Hentikan produk tambahan dan gunakan pelembap losen ringan atau gel sebagai ganti. Anda akan berasa lebih segar dan minyak pada kulit berkurang.

5. Kurangkan solekan

Meskipun anda berasa tidak sempurna tanpa solekan, sebaiknya kurangkan penggunaan solekan pada musim panas. Bedak asas hanya akan membuat wajah lebih mudah berpeluh. Selain itu, produk itu dapat menyumbat pori yang menyebabkan anda mudah berjerawat. Sebaliknya, gunakan pelembap ringan ketika musim panas.

KURANGKAN solekan ketika cuacapanas untuk elak pori tersumbat dan seterusnya berjerawat.
KURANGKAN solekan ketika cuacapanas untuk elak pori tersumbat dan seterusnya berjerawat.

6. Bilas muka menggunakan susu

Bunyinya mungkin agak keterlaluan, tetapi anda hanya perlukan sedikit saja susu segar. Sapukan susu rata-rata pada muka. Kaedah ini boleh membantu mengurangkan cela dan memanjakan kulit muka anda.

7. Minyak kelapa

Bagi individu yang mengalami masalah kulit kering, anda juga boleh gunakan minyak kelapa. Ia dikatakan antara cara yang baik untuk melindungi kulit sensitif dan mengelakkan munculnya ‘tetamu’ yang tidak dikehendaki seperti jerawat!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 9:52 PM