PEMERIKSAAN kesihatan percuma kepada masyarakat setempat.
PEMERIKSAAN kesihatan percuma kepada masyarakat setempat.
PELANCARAN Projek Elektrifikasi Solar Luar Bandar di Kampung Orang Asli Sungai Karah.
PELANCARAN Projek Elektrifikasi Solar Luar Bandar di Kampung Orang Asli Sungai Karah.
Aniza Zainudin


Buat pertama kalinya lebih 80 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Karah, Lenggong, Perak menerima bekalan elektrik menerusi pelaksanaan Projek Elektrifikasi Solar Luar Bandar oleh Persatuan Isteri-Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita).

Menerima bekalan elektrik dari ladang solar lima kilowatt (kW) terhasil daripada 20 panel photovoltaic, projek kedua selepas Kampung Batu 20, Tapah, pada 2016 ini dilakukan dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Jabatan Pembangunan Orang Asli (JAKOA).

Presiden Petronita, Puan Sri Dr Azura Ahmad Tajuddin berkata, usaha wanita dan pelajar sukarelawan dari Kluster Tenaga Hijau UTP berjaya menyalurkan kemahiran serta pengetahuan mereka demi memperkasakan komuniti berkenaan.

“Projek ini dilaksanakan untuk memperkasakan masyarakat Orang Asli, sejajar dengan inisiatif kebajikan Petronita dan falsafah pelaburan sosial korporat (CSI) Petronas bagi menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan pembangunan.

“Menerusi projek ini, penduduk kampung bakal menerima bekalan tenaga elektrik selama 24 jam sehari, sekali gus membantu mereka menjana mata pencarian apabila diberikan pemilikan ke atas penggunaan dan penyelenggaraan sistem ini.

“Selain itu, kita dapat meminimumkan risiko bahaya, keselamatan dan kesihatan daripada penggunaan lilin dan lampu minyak tanah berterusan dengan penggantian tenaga elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Naib Presiden Petronita 1, Datin Nazrin Aneeza Nazaruddin berkata, usaha keras Petronita, kepakaran teknikal UTP, kerjasama JAKOA dan masyarakat setempat selama berbulan-bulan berhasil apabila projek solar berkenaan berjaya.

Harapannya, kanak-kanak boleh belajar dengan lebih selesa menggunakan bekalan elektrik solar seterusnya membuka peluang lebih baik untuk maju pada masa depan.

Dekan Pusat Pengajian Asasi UTP, Prof Madya Dr Balbir Mahinder Singh turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Petronita kerana memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan kemahiran dipelajari menerusi Projek Elektrifikasi Solar Luar Bandar selama dua tahun di lokasi berbeza.

Majlis pelancaran Projek Elektrifikasi Solar Luar Bandar di Kampung Sungai Karah turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris, Pengarah JAKOA Perak dan Kedah, Harulnizam Abd Rahman, Pemangku Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Jawatankuasa Kebajikan Petronita, Azmah Azman.

Dalam masa sama, Petronita turut menjalankan bengkel kebersihan dan kecantikan untuk wanita serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pusat Perubatan Prince Court.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 10:26 AM