CEF Pele (tengah) bersama Linda (kanan) dan kakitangan pengurusan Fonterra (dari kiri) Manisya, Vidya dan Jose Miguel pada majlis perbincangan meja bulat mengenai aliran makanan 2018 anjuran Fonterra baru-baru ini.
CEF Pele (tengah) bersama Linda (kanan) dan kakitangan pengurusan Fonterra (dari kiri) Manisya, Vidya dan Jose Miguel pada majlis perbincangan meja bulat mengenai aliran makanan 2018 anjuran Fonterra baru-baru ini.
Siti Zarinah Sahib

Di luar negara, konsep bercerita mengenai sepiring makanan melalui lensa kamera dan gaya penyajian semakin mendapat perhatian. Teknik penceritaan sebegini digunakan secara meluas oleh kebanyakan pemilik bisnes makanan terutama pengusaha restoran dan kafe sebagai cara promosi berkesan menerusi laman sosial terutama Instagram dan Facebook.

Gambar makanan menyerlah dengan gaya penyajian kreatif sudah tentu menarik perhatian lantas mendapat kunjungan pelanggan paling tinggi.

Penceritaan makanan ini bermula daripada ketuhar ke meja makan, sehingga akhirnya tampil di media sosial. Ia menjadi budaya kini yang diperkuatkan dengan minat masyarakat terutama golongan 35 tahun ke bawah yang gemar memuat naik gambar sajian menerusi laman sosial. Ini menyebabkan inovasi makanan bukan saja berubah dari segi rasa dan tekstur tetapi juga khasiatnya.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah Perkhidmatan Makanan Anchor Food Profesionals (AFP), Fonterra Brands (Malaysia dan Brunei) Linda Tan, dalam perbincangan mengenai aliran pemakanan masyarakat pada tahun ini dan tahun akan datang yang.

Bercakap dalam perbincangan meja bulat Linda Tan menjelaskan, aliran makanan yang semakin berubah menjadi pencetus bagi Fonterra berada di barisan hadapan dalam setiap inovasi dilakukan.

“Sepanjang 10 tahun akan datang, potensi pertumbuhan dalam bidang makanan di Malaysia berada pada tahap luar biasa. Ini berlaku kerana cita rasa pengguna yang cenderung berubah terutama dalam pemilihan makanan Barat ke Timur, seterusnya merubah penggunaan bahan, kaedah penyediaan dan selera, “kata Linda.

CEF Pele menyediakan hidangan keju sang bersempena sambutan Tahun Baru Cina.
CEF Pele menyediakan hidangan keju sang bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

Perbincangan turut menekankan empat gaya makanan utama pada 2018 di Malaysia yang menjurus kepada peningkatan kuasa beli kelas menengah berpendapatan tinggi apabila mereka cenderung mencari makanan yang lebih berkualiti dan berkhasiat. Makanan dihasilkan pembuat makanan pula harus menekankan kepada nilai khasiat dan semula jadi bahan utamanya.

“Ini disebabkan masyarakat lebih menekankan kepada keselamatan dan kesihatan termasuk wanita yang tidak lagi berkira untuk berbelanja lebih bagi menikmati makanan sihat. Mereka juga mengutamakan gaya hidup sihat untuk memastikan tampil cantik dan berkeyakinan,” katanya.

Kesibukan dan masa yang terhad turut mempengaruhi penggiat industri dalam penghasilan makanan. Masyarakat yang semakin sibuk dan tiada masa menyediakan hidangan di rumah lebih giat membeli makanan di luar tetapi mereka masih mencari makanan hebat dan berkualiti tinggi.

Jelasnya lagi, pada tahun ini juga menyaksikan inovasi dalam penyesuaian menu apabila pengguna mengembangkan cita rasa mereka kepada juadah yang lebih ‘canggih’ dan terdorong mencuba pelbagai resipi baru.

“Antaranya makanan berasaskan keju seperti roti John keju, pisang goreng keju dan semua bentuk makanan berasaskan krim dan keju semakin diminati ramai. Makanan pula semakin diringkaskan dan digabungkan bahannya seperti burger piza, pot pie, prettza dan u formagio iaitu gabungan piza dan pai.

“Sebagai tarikan, hidangan disediakan pula berwarna-warni bagi menarik golongan muda yang gemar melihat makanan cantik. Ini turut berpunca daripada keinginan mereka mengambil gambar dan memuat naik menerusi laman Instagram bagi mendapat lebih banyak ‘like’ dan komen,” katanya.

“Tahun lalu menyaksikan peningkatan banyak menu hidangan menarik seperti kek nanas keju dan teh macchiato. Kami juga melihat peningkatan generasi yang menghargai makanan bukan hanya untuk rasa tetapi juga daya tarikan visual di media sosial.

“Bagi memastikan pembuat bisnes makanan berada di tempat teratas mereka harus pantas menghasilkan menu yang bukan sahaja enak tetapi berkhasiat dan cantik. Ini juga menjadi pertimbangan penting Fonterra dalam pembangunan bahan makanan serta produk tenusu seperti pastri moden Jepun dan PizzArt pada tahun lalu,” kata Linda.

LINDA dan Cef Pele bersama keju sang enak yang dihasilkan oleh Cef Pele.
LINDA dan Cef Pele bersama keju sang enak yang dihasilkan oleh Cef Pele.

Turut memberikan pendapat dalam perbincangan adalah Timbalan Presiden Persatuan Chef Profesional Malaysia dan Cef Eksekutif Kumpulan Movida, Cef Pele Kuah, yang turut bersetuju mengenai gaya aliran pemakanan di Malaysia dan bagaimana produk tenusu boleh digunakan secara inovatif di dalam resipi.

“Melihat kepada taraf hidup pengguna bandar terutama golongan muda yang semakin mewah dan bercita rasa tinggi, lebih banyak cabaran dan peluang dalam membangunkan inovasi kulinari makanan. Ini bermakna skop bagi cef dan pembikin industri semakin luas terutama bagi menghasilkan kerjasama dengan pakar perkhidmatan makanan untuk menghasilkan hidangan yang lebih baik dan enak,” kata Cef Pele.

Sambil mempamerkan dua hidangan menarik keju sang dan krim keju bebola menggabungkan rasa dan tekstur unik menggunakan produk Krim Anchor dan Krim Keju Anchor. Keju sang dipilih sebagai meraikan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi namun hidangan biasa yee sang diubah suai menjadi lebih inovatif dan kreatif dengan campuran keju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 2:03 AM