SESI bual bicara menarik perhatian.
SESI bual bicara menarik perhatian.
DRAMA mencuit hati.
DRAMA mencuit hati.
ANTARA peserta cilik yang terbabit dengan pelancaran Hari Kanak Kanak Sedunia 2017.
ANTARA peserta cilik yang terbabit dengan pelancaran Hari Kanak Kanak Sedunia 2017.
HM Digital

Lucu tetapi penuh pengisian menarik. Suasana di Talent Lounge, Damansara Perdana cukup berbeza hari itu. Kanak-kanak perempuan berpakaian cantik, lengkap dengan solekan dan dandanan rambut, sementara yang lelaki segak dalam pilihan baju meniru gaya orang dewasa.

Masing-masing tenggelam dalam karakter. Ada yang menjadi pengacara, pembaca berita, ahli panel, jurukamera, juruvideo, malah pengarah di sebalik tabir penyiaran. Terbit rasa kekok menjadi jemputan dewasa.

Pelancaran sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2017 minggu lalu berlangsung dalam suasana yang cukup unik dan ceria. Banyak momen mencuit hati. Malah, tugas pengacara (dewasa) dirampas sepenuhnya oleh kanak-kanak.

Bermula dengan persembahan ringkas sehinggalah mereka duduk bersantai di pentas, pengisian hari itu berkisar mengenai hak untuk pendapat dan cadangan kanak-kanak didengari seluruh dunia.

Ahli panel jemputan terdiri daripada kanak-kanak berbeza latar belakang, namun mereka sependapat. Cukup mengagumkan apabila sesi sidang media turut diurus semua peserta kanak-kanak dengan baik. Bangga melihat mereka cukup tenang menjawab setiap persoalan yang dilontar rakan media.

Menurut pengacaranya, Heidi Ilyana Azmyudin Raj, 12, banyak perkara baru dipelajari sepanjang terbabit dalam majlis pelancaran Hari Kanak-kanak Sedunia anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu.

Katanya, selain berkenalan dengan ramai rakan baru daripada pelbagai latar belakang yang berbeza, dia juga banyak berkongsi pendapat serta pandangan dengan kanak-kanak seawal usia lima hingga 17 tahun.

“Semua ini pengalaman baru. Saya langsung tidak pernah terfikir untuk menjadi sebahagian daripada agenda penting majlis (sambutan Hari Kanak-kanak) dan menyampaikan mesej kepada kanak-kanak di seluruh dunia,” katanya.

Jelas Heidi, dia gembira apabila diberi ruang untuk bebas menyuarakan pendapat kepada umum, apatah lagi membabitkan hak serta keinginan kanak-kanak yang selalu diabaikan.

Hal serupa diakui ahli panel jemputan, Muhammad, 17. Katanya, dia mahu orang dewasa lebih bertimbang rasa dan mendengar pandangan disuarakan menerusi perspektif kanak-kanak.

“Ada antara rakan saya yang pernah menyatakan minatnya terhadap dunia fotografi, namun tidak mendapat kebenaran untuk mendalami bidang itu daripada ibu bapa mereka.

“Saya percaya, hal seumpama ini dihadapi ramai lagi kanak-kanak di luar sana. Justeru, saya berharap supaya golongan dewasa, khususnya ibu bapa dapat bertoleransi terhadap pendapat dan pandangan anak mereka,” katanya.

MAHU KEAMANAN

Meneliti hasil kaji selidik Children4Change yang dijalankan UNICEF dan Persatuan Kakiseni bersama 1,036 kanak-kanak di Malaysia baru-baru ini, terbukti 80 peratus daripadanya mahukan dunia yang penuh kebaikan.

Mereka berikrar untuk menjadi individu yang lebih baik dan saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira bangsa, jantina, dan keupayaan untuk membina masa depan yang lebih baik.

Selain itu, kaji selidik sama juga mendedahkan kira-kira tujuh daripada 10 kanak-kanak di negara ini melahirkan rasa bimbang terhadap masalah buli.

Menurut wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh, kaji selidik yang dijalankan sempena Hari Kanak Kanak Sedunia turut membandingkan aras kebimbangan lebih rendah dengan tiga daripada 10 kanak-kanak di Jepun dan hampir empat daripada 10 kanak-kanak di United Kingdom (UK).

“Hari Kanak-kanak ini adalah waktu untuk mereka meluahkan setiap pandangan dan menyuarakan pendapat tidak kira mengenai apa yang dimahukan atau hak sebagai kanak-kanak itu sendiri.

“Begitupun, tahun ini, kami bawakan hampir 20 rakan media termasuk rangkaian televisyen, radio dan akhbar untuk memberi ruang serta peluang kepada kanak-kanak menyuarakan hak mereka.

“Saya percaya ini memberi lebih inspirasi kepada ramai kanak-kanak lain,” katanya.

Jelas Marianne, beliau yakin setiap kali peluang diberikan kepada kanak-kanak, mereka mampu membuktikan kepada umum betapa jelasnya kehendak serta keinginan kelompok itu dalam membina serta membangunkan masa hadapan.

“Mereka mahukan pendidikan yang berkualiti, memastikan tiada lagi keganasan, memperjuangkan perpaduan, setia kawan dan kebaikan untuk semua,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kakiseni Low Ngai Yuen percaya bahawa kebebasan bersuara adalah hak asasi bagi setiap kanak-kanak.

“Saya yakin, lebih banyak peluang kita beri untuk mereka menyuarakan pendapat, maka mereka akan lebih terbuka untuk membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti semasa, berfikiran terbuka dan mampu berfikir dengan cara matang serta berani menyuarakan pendapat,” katanya.

Antara inti pati kaji selidik Children4Change menyebut:

- Tiga daripada empat kanak-kanak mahu pemimpin Malaysia menyediakan pendidikan berkualiti untuk setiap kanak-kanak, termasuk kelompok kelainan upaya, pendatang dan pelarian. Jumlah yang sama juga mahukan pemimpin memastikan keselamatan mereka daripada semua jenis keganasan termasuk buli dan penderaan.

- Selain pendidikan dan keselamatan, lebih 70 peratus kanak-kanak ini mahu sikap perkauman dan diskriminasi dihentikan.

- Lebih daripada separuh juga bersetuju bahawa perpaduan dan setia kawan perlu untuk menjadikan dunia ini lebih baik untuk semua. -Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 11:51 AM