MEREKA juga boleh bermain dengan akses atau fasiliti sepadan.
MEREKA juga boleh bermain dengan akses atau fasiliti sepadan.
Nurul Husna Mahmud

DALAM perkembangan kanak-kanak satu aspek kritikal ialah bermain. Ia antara proses penting dilalui dalam mengisi keperluan fizikal, emosi, mental dan sosial kanak-kanak.

Malah dalam psikologi juga melihat pelbagai peringkat perkembangan tingkah laku bermain kritikal dalam pembinaan kanak-kanak sekali gus membantu apabila mereka meningkat dewasa.

Seterusnya keperluan bermain dalam kalangan kanak-kanak memerlukan medium lebih interaktif dan sesuai dengan tahap perkembangan mereka.

Namun untuk golongan berkeperluan khas terutamanya, fasiliti sesuai dapat membantu mereka menikmati hak bermain yang sepadan.

Dalam satu artikel dikongsikan Pakar Perlindungan Kanak-Kanak (Kanak-Kanak kurang upaya) Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Zoe Gan menyatakan golongan kanak-kanak kurang upaya jarang diberi peluang dalam sebarang penyertaan bermain.

Menurutnya, golongan itu mempunyai hak untuk bermain seperti kanak-kanak lain dan sokongan diperlukan termasuk mewujudkan ruang permainan inklusif sesuai dengan keupayaan mereka.

PERLU ada persekitaran yang positif membantu interaksi antara golongan khas dan normal.
PERLU ada persekitaran yang positif membantu interaksi antara golongan khas dan normal.

"Kanak-Kanak dan orang dewasa kurang upaya adalah kumpulan minoriti terbesar di Malaysia serta secara global.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 melaporkan di Malaysia, sebanyak 4.7 peratus daripada kanak-kanak antara 2 hingga 17 tahun didapati kurang upaya.

"Daripada kajian UNICEF 2017, kami mengetahui terdapat pengetahuan terhad dalam kalangan responden di Malaysia mengenai golongan kurang upaya; sebagai contoh, 13 peratus berpendapat kanak-kanak kurang upaya memerlukan makanan yang sedikit untuk meneruskan hidup berbanding dengan yang tidak mempunyai kekurangan.

"Disebabkan kurangnya pemahaman mengenai kanak-kanak kurang upaya mereka terdedah dengan isu emosi seperti merasai sedih, sunyi, malu dan marah apabila mereka dikecualikan," katanya.

Melihat kepada isu itu, masalah perlu ditangani dalam mewujudkan persekitaran yang mendorong penyertaan golongan kanak-kanak kurang upaya untuk turut bermain dengan rakan sebaya normal.

Atas dasar keperluan itu UNICEF berkolaboratif dengan Sime Darby Property (SDP) apabila syarikat pemaju itu membina taman inklusif sebagai satu inisiatif positif dapat membantu komuniti saling berinteraksi.

"Awal Disember lalu kita meraikan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa (IDPD), sehubungan dengan itu SDP secara rasminya akan membuka Taman Permainan Inklusif mereka yang pertama terletak di tengah-tengah Bandar Elmina, Sungai Buloh, Selangor.

ZOE harapkan akses dan ruang lebih banyak diberikan kepada golongan kurang upaya.
ZOE harapkan akses dan ruang lebih banyak diberikan kepada golongan kurang upaya.

"Taman permainan inklusif ini bukan sekadar taman permainan untuk kanak-kanak mendapat senaman harian mereka malah lebih daripada itu.

"Ia mampu menjadi intisari bagi masyarakat kita. Melalui interaksi penuh gurau-senda bersama rakan, keluarga mereka dan lain-lain, kanak-kanak dapat belajar untuk menyelesaikan masalah, membuat kawan selain saling bekerjasama sebagai satu kumpulan.

"Mereka akan belajar bagaimana untuk berkongsi dengan orang lain, menghargai dan menghormati perbezaan serta membina kemahiran sosial yang mana dapat membantu mereka melayari hidup dengan tenang meskipun berdepan dengan cabaran," katanya.

Menjelaskan lagi, apabila adanya taman itu jurang antara golongan istimewa dan masyarakat normal dapat dirapatkan apabila masing-masing mula bergaul dalam satu ruang.

"Bayangkan sebuah tempat yang mana kanak-kanak dan penjaga dapat belajar, membesar dan berinteraksi dengan kumpulan daripada pelbagai latar belakang.

KANAK-kanak kurang upaya mempunyai kelebihan tertentu.
KANAK-kanak kurang upaya mempunyai kelebihan tertentu.

"Menyedari hakikat di atas, berpandukan prinsip kebersamaan, dapatlah kita membesar sebagai masyarakat yang padu," katanya.

Tambah Zoe lagi, sebagai aktivis, dia berharap inisiatif itu menjadi model kepada semua peringkat untuk melihat penyediaan peluang, ruang dan keperluan bagi golongan istimewa bukanlah satu bebanan sebaliknya tanggungjawab bersama.

Dalam pada itu pihaknya berharap dengan satu model sudah terbina, lebih ramai lagi akan mengambil inisiatif untuk memberi peluang penyertaan kurang upaya dalam kelompok supaya adanya persaingan sihat dan sepadan.

Itu juga membantu mengikis 'stereotaip' yang mana golongan berkenaan tidak mempunyai kelebihan atau keupayaan. Sedangkan dalam aspek tertentu mereka mempunyai kelebihan selain dapat membantu masyarakat andainya diberi peluang dan akses yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 7:00 AM