ROZILA bersama pelbagai sijil melayakkan syarikat itu memberikan kursus dan latihan kepada peserta.
ROZILA bersama pelbagai sijil melayakkan syarikat itu memberikan kursus dan latihan kepada peserta.
ASPEK keselamatan diberi keutamaan terutama di tapak pembinaan.
ASPEK keselamatan diberi keutamaan terutama di tapak pembinaan.
HM Digital

Potensi besar dalam bidang pembinaan mendorong bekas guru bahasa Inggeris dan perdagangan menubuhkan syarikat penyedia perkhidmatan latihan terutama bagi menawarkan kursus asas keselamatan di tempat kerja.

Jika dulu, tumpuan hanya diberikan kepada pelajar sekolah, kini fokus Rozila Mahmod, 46, lebih besar kerana membabitkan orang dewasa yang berurusan di pejabatnya di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) antara impak besar yang turut membantu syarikat dalam melebarkan sayap perniagaan, malah setiap pekerja disyaratkan memiliki Kad Hijau jika mahu bekerja di tapak pembinaan.

Menurut Rozila, bagi kontraktor, kegagalan mengikuti Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau Akta 520 (Pindaan 2011) menyebabkan mereka berdepan hukuman berat sekiranya mengabaikan keselamatan di tapak pembinaan.

“Sesiapa yang didapati menjalankan kerja pembinaan tanpa pendaftaran yang sah dan tanpa diakreditasikan, boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM5,000.

“Penalti sama juga dikenakan kepada sesiapa yang mengambil pekerja yang tidak diakreditasikan untuk melaksanakan kerja pembinaan,” katanya.

Malah, keselamatan di tempat kerja suatu aspek penting dalam sesebuah organisasi syarikat. Ia salah satu tanggungjawab majikan di bawah Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 Malaysia untuk mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan pekerja ketika bekerja di dalam sesebuah syarikat.

Rozila berkata, Total System Management Sdn Bhd (TSMSB) yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri pendidikan dan keselamatan memainkan peranan penting menyediakan perkhidmatan pengendalian latihan termasuk kursus asas keselamatan di pelbagai sektor industri.

Bukan itu saja, peranan dimainkan syarikat Bumiputera itu juga besar terutama membabitkan perkhidmatan konsultasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selain pembekal pekerja mahir yang dikenali dan reliabiliti di selatan Semenanjung.

Semuanya bermula sekitar 2008, apabila syarikat enterprise secara sambilan itu mengorak langkah berstatus Syarikat Sendirian Berhad pada 2012 dengan mempunyai kakitangan tetap dan kontrak antara tiga hingga 10 individu.

REZEKI BERSARA AWAL

Selaku pengarah syarikat, Rozila mengakui status pendidik yang pernah digalas suatu ketika dulu sedikit sebanyak membantunya dalam memperkembangkan syarikat ke tahap tinggi, bahkan kursus asas keselamatan di tempat kerja juga mendapat permintaan tinggi ketika ini.

Mengambil kira kepesatan pembangunan sedang rancak dilaksanakan di negeri di selatan tanah air ini, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan dari Saint Louis University, Amerika Syarikat ini mengambil peluang tersaji di depan mata dari sudut positif.

Katanya, dengan kelebihan mengendalikan latihan kepada lebih 30 syarikat yang menjadi pelanggan utama, syarikat TSMSB meneruskan misi syarikat untuk menyediakan pelbagai jenis latihan dalam pelbagai bidang dan industri.

“Fokus latihan yang diberi menjurus kepada pelbagai kursus antaranya kursus keselamatan dan kesihatan, berkaitan sumber manusia, akreditasi pertolongan cemas (ECSI), akreditasi penyelia keselamatan (OGSC) dan pengendalian pemakanan (berkolaborasi dengan Effective Business Consultancy Sdn Bhd).

“Selain itu kami juga menyediakan kursus pengurusan, bahasa Inggeris atau Sistem Pengujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) dan program pembangunan modal insan,” katanya.

TSMSB juga menyediakan kursus di dalam talian dan membekal tenaga kerja mahir seperti jurukimpal, penyelia keselamatan, jurutera dan juruelektrik kepada mana-mana syarikat khususnya syarikat pembinaan yang memerlukan pekerja mahir secara kontrak.

Katanya, harga kursus semi teknikal dan teknikal yang ditawarkan adalah berpatutan dan kompetitif.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan sewaan bilik latihan dengan harga yang berpatutan. Bilik latihan yang boleh memuatkan 40 peserta, berhawa dingin, percuma WiFi, ruang solat, ruang diskusi dan ruang kopi dan teh, selain memberikan ruang pembelajaran yang kondusif serta selesa,” katanya.

Pemegang Diploma Lanjutan Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, keputusannya bersara awal dan memberikan tumpuan sepenuh masa umpama langkah kanan dalam membuka peluang latihan kepada sektor industri.

Malah, dia begitu bersemangat memajukan syarikat apatah lagi dengan galakan, tunjuk ajar dan nasihat tidak pernah putus daripada suaminya, Zulhaimi Mohammad.

Selaku syarikat penyediaan latihan yang berdaftar, TSMSB berkolaborasi dengan badan kerajaan tempatan.

“TSMSB berdaftar dengan agensi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kursus kad hijau.

“Selain itu kami juga menyediakan kursus membabitkan mata Program Pembangunan Kontraktor Secara Berterusan (CCD),” katanya.

TSMSB juga berdaftar dengan beberapa institusi antarabangsa seperti Emergency Care Safety Institute (ECSI) khusus untuk program pertolongan cemas dan Oil Gas Safety Council (OGSC) untuk program penyelia keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Katanya, pihaknya membuka peluang kepada semua individu dan syarikat untuk menjadi ejen kepada syarikat itu, selain mengembangkan perkhidmatan ke negeri di Utara Semenanjung Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari website: www.tsm-training.com. -Mohd Sabran Md Sani

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 3:05 PM